WARGA Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) digesa terus memelihara integriti serta mengamalkan tadbir urus terbaik sebagai teras perkhidmatan bagi mempertahankan keyakinan masyarakat terhadap institusi komunikasi negara.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Abd Halim Aman berkata warga MCMC perlu berani tampil melaporkan sebarang salah guna kuasa atau arahan yang bercanggah dengan undang-undang menerusi saluran rasmi.
“Berani kerana benar dan laporkan sebarang salah laku. Perkara yang salah jangan sesekali dilindungi,” katanya ketika menyampaikan amanat sempena Majlis Kemuncak Bulan Integriti dan Audit MCMC 2026 yang dikongsikan di Facebook SPRM hari ini.
Abd Halim berkata penganjuran program pengukuhan integriti oleh MCMC mencerminkan kesungguhan pengurusan tertinggi dan seluruh warga kerja suruhanjaya itu dalam memartabatkan akauntabiliti.
Beliau berkata integriti bukan sekadar mematuhi peraturan bertulis atau memenuhi keperluan audit, tetapi bermula daripada nilai dan prinsip setiap individu terutama apabila berhadapan dengan situasi yang menguji kejujuran dan amanah.
“Amanah wajib dipelihara tanpa mengira pangkat atau kedudukan manakala kuasa pula bukan suatu keistimewaan. Setiap keputusan berhubung perlesenan, penguatkuasaan, perolehan, pengurusan sumber manusia dan hubungan industri mesti dilaksanakan secara telus,” katanya.
Majlis Kemuncak Bulan Integriti dan Audit MCMC 2026 yang bertemakan Empowering Integrity, Strengthening Governance diadakan di Auditorium MCMC di Cyberjaya hari ini.
Hadir sama ialah Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi merangkap Anggota Jawatankuasa Audit dan Risiko MCMC Datuk Abdul Halim Hamzah, Pengerusi MCMC Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din serta Anggota Suruhanjaya merangkap Pengerusi Jawatankuasa Audit dan Risiko MCMC Profesor Dr Mohamad Salmi Mohd Sohod.
Selain itu, majlis juga dihadiri Anggota Suruhanjaya MCMC Jeneral (B) Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin, Pengarah Urusan MCMC Abdul Karim Fakir Ali dan Pengarah Kanan Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin.
Sementara itu, Mohamad Salmi berkata MCMC sentiasa komited untuk mengekang amalan rasuah serta memastikan sistem tatakelola yang berakauntabiliti dilaksanakan secara berterusan.
“MCMC sentiasa melaksanakan yang terbaik bagi memastikan setiap dana diurus akan dikembalikan manfaatnya kepada rakyat secara telus dan teratur,” katanya.





