PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendoakan agar pendakwah terkenal, Ustaz Wadi Annuar diberikan kesembuhan segera selepas terbabit dalam kemalangan ketika dalam perjalanan ke Gerik, Perak, awal pagi tadi.
Menerusi hantaran di Facebook, Anwar turut berharap urusan rawatan pendakwah itu dipermudah serta diberikan ketabahan dan kekuatan untuk menghadapi ujian berkenaan.
“Mendoakan Ustaz Wadi Annuar dikurniakan kesembuhan selepas terlibat dalam kemalangan ketika dalam perjalanan ke Gerik awal pagi tadi.
“Moga Allah SWT mempermudah segala urusan rawatan serta mengurniakan ketabahan dan kekuatan buat Ustaz dalam menempuh ujian ini.
“Semoga Ustaz segera pulih dan kembali berbakti menyampaikan ilmu serta dakwah kepada masyarakat,” katanya dalam hantaran itu hari ini.
Terdahulu, satu hantaran di laman Facebook milik Ustaz Wadi memaklumkan pendakwah itu bersama beberapa kakitangannya terbabit dalam kemalangan ketika dalam perjalanan di Gerik.
Hantaran berkenaan turut memohon orang ramai mendoakan keselamatan dan kesejahteraan semua yang terlibat dalam kejadian itu.
“Pada hari Jumaat yang mulia ini, kami memohon jasa baik orang ramai untuk mendoakan keselamatan dan kesejahteraan beliau serta semua yang terbabit.
“Semoga Allah SWT melindungi mereka, mengurniakan pertolongan serta mempermudah segala urusan,” menurut hantaran itu.
Dalam perkembangan berkaitan, Ustaz Wadi dilaporkan menerima rawatan di Hospital Gerik selepas mengalami kesakitan pada bahagian perut dan dada.
Bagaimanapun, beliau dilaporkan berada dalam keadaan stabil. Butiran lanjut mengenai kejadian serta perkembangan terkini keadaannya belum dapat dipastikan.





