Pemegang PLKS, PLS tidak benarkan berniaga di Malaysia

PEMEGANG Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) dan Pas Lawatan Sosial (PLS) tidak dibenarkan menjalankan atau mengendalikan perniagaan di Malaysia, tegas Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, warga asing yang didapati berniaga atau mengurus premis perniagaan tanpa kebenaran sah boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Imigresen 1959/63 kerana melanggar syarat pas.

Menurutnya, Kementerian Dalam Negeri (KDN) memandang serius penyalahgunaan lesen perniagaan oleh warga tempatan bagi membolehkan warga asing menjalankan kegiatan perniagaan secara tidak sah.

“KDN akan memperkukuh kerjasama dengan pihak berkuasa tempatan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Polis Diraja Malaysia serta agensi berkaitan bagi mengenal pasti dan mengambil tindakan terhadap sindiket atau individu yang menyalahgunakan lesen perniagaan sebagai topeng kepada kegiatan melanggar undang-undang.

“Pendekatan ini selaras dengan komitmen kerajaan untuk memastikan penguatkuasaan bukan sahaja menyasarkan pelaku di hadapan, tetapi turut mengambil tindakan terhadap dalang, pemilik perniagaan dan pihak yang bersubahat,” katanya lapor Harian Metro, baru-baru ini.

Zakaria berkata, JIM mengambil pendekatan menyeluruh dalam menangani pelanggaran undang-undang imigresen oleh warga asing, termasuk melalui operasi penguatkuasaan dan langkah pencegahan.

Katanya, pemeriksaan berkala serta penyampaian maklumat mengenai tanggungjawab dan implikasi undang-undang turut dilaksanakan bagi meningkatkan kesedaran dalam kalangan warga asing dan majikan.

“JIM sentiasa mengingatkan bahawa warga asing yang menyalahgunakan kemudahan imigresen atau melanggar syarat pas diberikan akan berdepan tindakan tegas mengikut Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

Beliau menegaskan setiap warga asing yang berada di Malaysia bertanggungjawab mematuhi undang-undang negara.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here