Ejen hartanah direman dua hari kes nahas maut dua rakan

SEORANG ejen hartanah direman selama dua hari bagi membantu siasatan nahas maut yang mengorbankan dua rakan di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu, Georgetown semalam.

Perintah reman terhadap lelaki berusia 23 tahun itu dikeluarkan Majistret Nurhanisah S H Sahul Hamid selepas membenarkan permohonan polis.

Peguamnya, RSN Rayer berkata, pihak polis pada awalnya memohon reman selama empat hari bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Beliau berkata, seksyen berkenaan melibatkan kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah sehingga menyebabkan kecederaan atau kematian, termasuk kesalahan melebihi had yang ditetapkan.

Menurutnya, polis memaklumkan kepada mahkamah bahawa mereka tidak berpuas hati dengan kenyataan yang diberikan anak guamnya.

Bagaimanapun, Rayer berkata, anak guamnya memberikan kerjasama sepanjang siasatan, termasuk hadir sendiri ke balai polis untuk memberikan keterangan.

“Di sisi undang-undang, setiap individu yang ditahan mempunyai hak untuk berdiam diri dan tidak diwajibkan memberikan sebarang kenyataan,” katanya.

Mahkamah kemudian membenarkan permohonan reman selama dua hari.

Terdahulu, lelaki itu dilaporkan menyerah diri kepada polis selepas disyaki terbabit dalam kejadian langgar lari membabitkan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu.

Nahas berkenaan mengorbankan dua rakan, masing-masing lelaki berusia 22 tahun dan wanita berusia 20 tahun, yang berasal dari Padang Serai, Kedah. Kedua-dua mangsa meninggal dunia di tempat kejadian.

Lelaki berusia 23 tahun itu tiba di mahkamah dalam keadaan bergari dan menundukkan kepala sepanjang prosiding.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here