Pelajar serang guru masih dirawat, polis rakam keterangan 24 individu

PELAJAR lelaki berusia 16 tahun yang disyaki menyerang seorang guru di sebuah sekolah swasta di Kuching, Rabu lalu, masih menerima rawatan di hospital, manakala polis sudah merakam keterangan 24 individu bagi membantu siasatan.

Pemangku Pesuruhjaya Polis Sarawak, Deputi Komisioner Saifullizan Ishak berkata, siasatan terhadap pelajar terbabit diteruskan dengan mengambil kira keadaan kesihatannya serta nasihat dan penilaian pegawai perubatan.

Menurutnya, polis akan memastikan semua prosedur undang-undang dipatuhi sepanjang proses siasatan dijalankan.

Beliau berkata, individu yang sudah dirakam percakapan termasuk pengadu, mangsa, pegawai perubatan, anggota yang terlibat dalam tangkapan dan rampasan, ibu bapa pelajar terbabit, pemandu keluarga, pihak sekolah serta pelajar.

Saifullizan berkata, siasatan dijalankan secara menyeluruh dengan meneliti semua keterangan dan bukti yang diperoleh sebelum sebarang tindakan lanjut diambil.

“Polis menjalankan siasatan secara profesional, teliti dan menyeluruh dengan mengambil kira semua keterangan serta bukti berkaitan.

“Pada masa sama, polis turut mengambil serius aspek sensitiviti semua pihak, khususnya kebajikan mangsa dan pelajar yang terbabit dalam insiden berkenaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau turut meminta orang ramai menghormati privasi semua pihak dan tidak menyebarkan identiti, gambar atau maklumat peribadi yang boleh mendedahkan identiti mereka, terutama individu bawah umur.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.03 pagi, Rabu lalu, pelajar terbabit dilaporkan mencederakan seorang guru wanita. Maklumat awal menyatakan pelajar itu membawa mercun sebelum dipercayai mencederakan mangsa menggunakan kapak sehingga menyebabkan luka pada tangan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan menggunakan senjata atau benda berbahaya serta Seksyen 6(1) Akta Bahan Letupan 1957 berkaitan pemilikan bahan letupan.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here