POLIS menahan enam lelaki disyaki terbabit dalam sindiket perjudian dalam talian yang menyasarkan warga Australia menerusi serbuan di sebuah rumah teres tiga tingkat di Kamunting dekat Taiping, Selasa lalu.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, siasatan awal mendapati kegiatan itu bermula sejak Julai lalu dengan mempromosikan tiga platform perjudian menggunakan aplikasi Telegram dan WeChat untuk berhubung dengan pelanggan.
Menurutnya, semua suspek berusia antara 22 hingga 31 tahun itu dipercayai memperoleh pendapatan antara RM6,000 hingga RM10,000 sebulan setiap seorang.
“Bagi menarik pelanggan, sindiket menggunakan gambar profil wanita Eropah, selain menawarkan pakej perjudian bermula AUD30 hingga AUD200, bersamaan RM80 hingga RM535.
“Analisis turut mendapati sindiket menggunakan akaun bank Australia untuk menerima bayaran, manakala kad SIM yang digunakan dihubungkan terus dengan rangkaian telekomunikasi negara berkenaan,” katanya, lapor BH.
Beliau berkata, suspek dipercayai menggunakan pintu belakang rumah untuk keluar masuk bagi mengelakkan kegiatan mereka dikesan pihak berkuasa.
Dalam serbuan pada jam 8.05 malam itu, polis merampas peralatan elektronik dianggarkan bernilai RM35,000, termasuk 18 telefon bimbit pelbagai jenama, 10 skrin komputer, enam unit pemprosesan pusat (CPU) dan penghala internet.
Mohd Alwi berkata, kesemua suspek direman selama empat hari bermula Rabu lalu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Katanya, jumlah mangsa serta nilai kerugian keseluruhan masih dalam siasatan.
Beliau turut mengingatkan bahawa sindiket penipuan digital kini beroperasi merentas sempadan dengan memanfaatkan teknologi komunikasi dan kerap menukar lokasi operasi bagi mengelak dikesan.





