SEORANG pelajar wanita warga Maldives maut selepas kereta dinaiki dua penumpang terbabit kemalangan di Lebuhraya Baru Pantai (NPE), berhampiran Plaza Tol PJS, Subang Jaya, malam kelmarin, dengan pemandu e-hailing disahkan positif methamphetamine.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, kemalangan berlaku kira-kira jam 8.48 malam dan membabitkan Perodua Ativa dipandu lelaki tempatan berusia 37 tahun dengan Proton S70 dipandu lelaki berusia 34 tahun.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati Proton S70 sedang bergerak ke lorong RFID sebelum bahagian belakang kanan kenderaan itu dilanggar Perodua Ativa dari arah kanan.
“Pemandu e-hailing membawa dua penumpang wanita warga Maldives berusia 22 tahun yang juga pelajar institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) di Lembah Klang.
“Impak pelanggaran menyebabkan Perodua Ativa berpusing sebelum terbalik di tengah jalan,” katanya.
Menurutnya, seorang penumpang terperangkap dalam kenderaan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala seorang lagi cedera.
Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Serdang untuk proses bedah siasat.
Wan Azlan berkata, ujian saringan air kencing terhadap kedua-dua pemandu mendapati pemandu e-hailing positif dadah jenis methamphetamine atau syabu.
“Susulan itu, Mahkamah Majistret Shah Alam membenarkan perintah reman selama empat hari terhadap pemandu berkenaan bagi membantu siasatan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 44(1)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan kertas siasatan dijangka diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya esok untuk arahan lanjut,” katanya.
Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat atau rakaman kamera papan pemuka (dashcam) berhubung kejadian supaya menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Azizul Hakim Roslan di talian 011-2891 4495 atau Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya.





