Putus cinta punca penuntut asing serang dua beradik

PUTUS cinta dipercayai menjadi motif seorang penuntut asing menceroboh kediaman rakan sekuliah di Taman Sri Bintang, Kepong, Kuala Lumpur, sebelum menyerang wanita berkenaan dan adiknya.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Anuar Bakri Abdul Salam berkata, siasatan awal mendapati suspek tidak berpuas hati selepas wanita terbabit memutuskan hubungan mereka.

“Motif kejadian menjurus kepada rasa tidak puas hati suspek terhadap mangsa yang memutuskan hubungan mereka,” katanya ketika dihubungi, hari ini, lapor Harian Metro.

Beliau berkata, suspek kini menerima rawatan di wad psikiatri Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Bagaimanapun, katanya, doktor masih menjalankan penilaian dan belum membuat sebarang kesimpulan sama ada lelaki terbabit mempunyai masalah kesihatan mental atau sebaliknya.

“Suspek masih di bawah pemantauan doktor dan belum ada sebarang keputusan buat masa ini,” katanya.

Anuar berkata, berdasarkan keterangan mangsa, suspek dan wanita terbabit adalah rakan sekuliah.

Suspek kini direman selama tujuh hari bermula 30 September hingga esok, 7 Oktober.

Dalam kejadian 29 September lalu, dua beradik cedera selepas ditikam lelaki warga asing yang menceroboh masuk ke rumah mereka di Taman Sri Bintang, Kepong, di sini.

Polis yang tiba di lokasi mendapati terdapat kesan terbakar di bahagian luar rumah selain menemukan kedua-dua mangsa yang cedera sedang bersembunyi di dalam tandas di tingkat bawah.

Suspek warga asing kemudian ditemui berada di dalam sebuah bilik di tingkat atas sambil memegang sebilah pisau.

Seorang daripada mangsa dibenarkan keluar hospital pada 4 Oktober, manakala seorang lagi masih menerima rawatan di wad.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here