SEORANG wanita berusia 19 tahun maut selepas motosikal ditunggangnya bertembung dengan motosikal lain sebelum tercampak dan dipercayai digilis sebuah kereta dalam kemalangan di Jalan Sepang/Salak, semalam.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman berkata, kejadian kira-kira jam 8.20 malam itu membabitkan dua motosikal jenis Honda C100 berwarna biru dan hitam serta Proton Saga Iswara berwarna kelabu.
Menurutnya, siasatan awal mendapati motosikal Honda C100 berwarna hitam yang ditunggang lelaki warga India berusia 30-an sedang bergerak dari arah Sungai Pelek menghala Nilai.
“Apabila sampai di lokasi kejadian, motosikal terbabit dipercayai bertembung dengan motosikal Honda C100 berwarna biru yang bergerak melawan arus di lorong kiri laluan sama.
“Akibat pelanggaran itu, mangsa tercampak dan jatuh di lorong kanan sebelum dipercayai digilis Proton Saga Iswara yang sedang bergerak terus di lorong berkenaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Norhizam berkata, mangsa yang bekerja di ladang penternakan lembu di kawasan Sepang disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh Penolong Pegawai Perubatan.
“Semakan mendapati mangsa tidak memiliki lesen memandu yang sah,” katanya.
Beliau berkata, penunggang motosikal Honda C100 berwarna hitam mengalami kecederaan pada bahagian muka dan dibawa ke Hospital Cyberjaya oleh ambulans Klinik Kesihatan Salak untuk mendapatkan rawatan.
Katanya, lelaki warga India itu bekerja sebagai tukang masak di sebuah kedai makan dan turut tidak memiliki lesen memandu yang sah.
“Pemandu Proton Saga Iswara pula merupakan lelaki tempatan berusia 20-an yang bekerja sebagai penyelia F&B dan mempunyai lesen memandu yang masih sah tempoh,” katanya.
Norhizam berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Polis meminta saksi yang melihat kejadian atau mempunyai maklumat berkaitan supaya tampil membantu siasatan serta tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan.
Saksi atau individu yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohamad Fadzil Zainol Abidin di talian 019-5588221 atau 03-87774264, atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran.





