SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang menyiasat penstriman langsung kejadian seorang pelajar berusia 16 tahun menyerang seorang guru wanita di sebuah sekolah swasta di Kuching, kelmarin.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, MCMC akan mengeluarkan kenyataan berhubung perkara itu pada masa yang sesuai selepas siasatan dijalankan.
“Buat masa ini, MCMC sedang menyiasat isu berkenaan. Jika kita ingat kembali, sebelum ini terdapat beberapa kejadian di negara lain apabila platform gagal menghalang tindakan keganasan daripada disiarkan secara langsung.
“Kita serahkan kepada MCMC untuk menjalankan siasatan dan mengeluarkan kenyataan pada masa yang sesuai,” katanya dalam sidang media mingguan Pasca Mesyuarat Jemaah Menteri di Kementerian Komunikasi di Putrajaya hari ini.
Fahmi yang juga Menteri Komunikasi ditanya sama ada kerajaan meminta Meta memberikan penjelasan berhubung kegagalan Facebook mengesan atau menghentikan siaran langsung kejadian itu sebaik sahaja ia bermula.
Beliau turut ditanya sama ada Malaysia akan mengambil tindakan lebih tegas, termasuk dari aspek keselamatan, bagi menghalang kejadian jenayah ganas daripada disiarkan secara langsung menerusi platform media sosial.
Dalam kejadian kira-kira jam 8.03 pagi kelmarin, seorang guru wanita di sekolah berkenaan mengalami kecederaan pada tangan selepas dipercayai diserang pelajar terbabit.
Maklumat awal mendapati pelajar itu membawa mercun ke sekolah sebelum dipercayai menyerang guru berkenaan menggunakan kapak.
Pelajar berusia 16 tahun itu masih menerima rawatan di hospital ketika siasatan dijalankan.
Pemangku Pesuruhjaya Polis Sarawak, Deputi Komisioner Saifullizan Ishak dilaporkan berkata, polis sedang menjalankan siasatan terhadap suspek dengan mengambil kira keadaan kesihatannya serta nasihat pegawai perubatan.





