Pegawai CeIO perlu perkasa kompetensi, jadi rakan strategik pengurusan

PEGAWAI Integriti Bertauliah (CeIO) digesa memperkukuh kompetensi dan kemahiran insaniah bagi memastikan peranan mereka memberi impak tinggi serta menjadi nilai tambah kepada kementerian dan agensi kerajaan yang dianggotai.

Pengarah Kanan Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA), Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin berkata, pegawai integriti tidak boleh hanya bergantung pada pengetahuan asas, sebaliknya perlu memahami operasi agensi, mengenal pasti profil risiko serta ancaman rasuah dan menguasai kemahiran komunikasi yang berkesan.

DATUK Mohamad Zamri Zainul Abidin

“Kehadiran pegawai CeIO di agensi perlu dirasai melalui keupayaan menjadi rakan strategik kepada pihak pengurusan. Pegawai integriti bukan sahaja perlu memahami dasar dan prosedur, tetapi berani menyuarakan kebenaran, bijaksana membuat keputusan serta tegas mempertahankan prinsip apabila berdepan dengan tekanan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penutup Program Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) Eksekutif Siri 10 Bil. 1/2026 di Dewan Tun Ismail, MACA, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Kuala Lumpur hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah SPRM Negeri Sembilan, Awgkok Ahmad Taufik Putra Awg Ismail dan Pengarah Bahagian Komunikasi Strategik SPRM, Hisyam Mohd Yusoff.

Mohamad Zamri berkata, MACA turut merancang menambah baik modul latihan pada masa hadapan bagi memastikan setiap pegawai, khususnya pegawai SPRM, mempunyai persediaan mencukupi sebelum ditempatkan di lapangan.

Program latihan intensif selama 14 hari itu menyaksikan 62 peserta berjaya melepasi fasa pertama latihan, terdiri daripada 59 pegawai SPRM dari Ibu Pejabat dan negeri termasuk yang bertugas di Unit Integriti serta tiga Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD).

Bagaimanapun, beliau menegaskan kejayaan melepasi fasa pertama berdasarkan kehadiran sekurang-kurangnya 80 peratus bukan jaminan untuk memperoleh pentauliahan CeIO.

Sebaliknya, peserta perlu melepasi fasa kedua yang merangkumi ujian penilaian dan penyediaan tugasan individu berkaitan Pelan Antirasuah Organisasi (OACP).

“Sasaran kita bukan sekadar menamatkan kursus, tetapi memastikan setiap peserta benar-benar layak menerima pentauliahan berdasarkan kriteria ketat ditetapkan.

“Tugasan OACP perlu dimanfaatkan sepenuhnya untuk memperlihatkan keupayaan menganalisis risiko rasuah serta mencadangkan langkah pencegahan yang praktikal dan berkesan,” katanya.

Beliau berkata, pegawai integriti juga perlu memiliki keupayaan pelbagai bidang bagi mengenal pasti kelemahan sistem dan mencegah salah laku sebelum ia berlaku, sekali gus membendung rasuah dari peringkat awal.

“Selain itu, pegawai integriti juga perlu mempunyai ciri-ciri hibrid yang mampu mengenal pasti kelemahan sistem dan mencegah salah laku sebelum ianya berlaku sekali gus menyekat rasuah daripada peringkat awal,” katanya.

Kesemua 62 peserta hanya akan ditauliahkan pada Majlis Konvokesyen CeIO akan datang, tertakluk kepada penilaian dan penyempurnaan baki tugasan yang ditetapkan.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here