MAYAT bayi perempuan dipercayai berusia kira-kira tujuh bulan ditemukan di dalam tong sampah di kawasan pembuangan sampah berhampiran sebuah apartmen di Bangsar pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Hoo Chang Hook berkata, pihaknya menerima laporan berhubung penemuan mayat bayi itu pada jam 10.43 pagi.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati bayi perempuan berkenaan ditemukan di dalam sebuah tong sampah di kawasan apartmen terbabit.
“Mayat bayi berkenaan kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat.
“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan dan siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Polis turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu supaya tampil membantu siasatan.
Maklumat boleh disalurkan menerusi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999, Hotline Polis Brickfields di talian 03-2297 9222 atau mana-mana balai polis berhampiran.





