MALAYSIA tidak mengesan sebarang syarikat tempatan terbabit dalam aktiviti pembakaran hutan di Indonesia, ketika negara itu meneruskan siasatan terhadap 11 syarikat yang disyaki mempunyai kaitan dengan kebakaran hutan dan tanah.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, perkara itu dimaklumkan kepada Jemaah Menteri, susulan laporan media antarabangsa mengenai siasatan pihak berkuasa Indonesia terhadap syarikat terbabit.
“Dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari ini, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) memaklumkan beberapa perkara berkaitan jerebu termasuk 11 syarikat yang telah dikenakan tindakan oleh pihak Indonesia dan NRES mengesahkan tiada syarikat Malaysia dikesan terlibat dalam aktiviti pembakaran terbuka di negara terbabit,” katanya.
Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata demikian dalam sidang media mingguan Pasca Mesyuarat Jemaah Menteri di Kementerian Komunikasi di Putrajaya hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata Malaysia kekal bersedia menawarkan bantuan aset bagi membantu memadam kebakaran hutan di Kalimantan, namun masih menunggu maklum balas rasmi kerajaan Indonesia berhubung keperluan bantuan berkenaan.
“Tawaran itu masih kekal. Malaysia bersedia memberikan bantuan aset sekiranya diperlukan,” katanya.
Fahmi berkata, tawaran itu mencerminkan hubungan diplomatik yang baik antara kedua-dua negara serta komitmen Malaysia untuk bekerjasama menangani isu berkenaan.
Bagaimanapun, setakat ini Kementerian Luar dan NRES masih belum menerima maklum balas lengkap daripada Indonesia mengenai bentuk bantuan yang diperlukan.
Semalam, media antarabangsa melaporkan Polis Indonesia menamakan 11 syarikat sebagai suspek dalam siasatan berhubung kebakaran hutan dan tanah yang masih berjalan, termasuk tiga syarikat yang menerima pelaburan asing.
Ketua Polis Negara Indonesia, Jeneral Suyudi Ario Seto dilaporkan enggan mendedahkan nama syarikat terbabit, namun memaklumkan siasatan berjalan tanpa halangan besar.





