SEORANG murid lelaki Tahun Satu maut selepas dipercayai terjatuh dari tingkat 10 sebuah projek perumahan rakyat (PPR) di Tampoi, Johor Bahru hari ini.
Kejadian dipercayai berlaku jam 5.30 petang ketika kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun itu, bermain basikal di luar rumahnya sebelum dia dipercayai terjatuh.
Difahamkan, ketika kejadian, ibu mangsa berada di dalam rumah, manakala bapanya yang bekerja sebagai kelindan lori keluar bekerja.
Ibu mangsa hanya dimaklumkan berhubung kejadian yang menimpa anak kedua daripada empat beradik itu selepas dimaklumkan rakan mangsa, lapor BH.
Tinjauan di lokasi kejadian mendapati pasukan forensik sedang melakukan siasatan, termasuk mengambil sebuah basikal milik mangsa untuk siasatan lanjut.
Mayat dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru bagi bedah siasat.
Media sedang berusaha mendapatkan kenyataan pihak polis berhubung kejadian itu.





