POLIS menahan seorang penunggang motosikal yang disyaki menghalang laluan sebuah ambulans ketika kenderaan kecemasan itu sedang menjalankan tugas di Jalan Sultan Azlan Shah, Sungai Tiram di Balik Pulau.
Penahanan lelaki itu dibuat susulan penularan video berdurasi 44 saat di TikTok yang memaparkan tindakan penunggang motosikal berkenaan.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Anuwal Ab Wahab berkata, pihaknya mengesahkan menerima video berkenaan sebelum menahan suspek bagi membantu siasatan.
“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara tidak cermat dan tidak bertimbang rasa. Siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Anuwal turut menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa mematuhi undang-undang lalu lintas dan memberikan laluan kepada kenderaan kecemasan.
“Tindakan menghalang kenderaan kecemasan boleh menjejaskan usaha menyelamatkan nyawa serta berisiko membahayakan keselamatan orang lain,” katanya.
Beliau turut menggesa orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu proses siasatan polis.





