PERIKATAN Nasional (PN) akan menjemput parti Bersatu menghadiri mesyuarat tergempar Majlis Tertinggi gabungan itu yang akan diadakan esok, susulan keputusan mahkamah membenarkan penggantungan notis Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS).
Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, makluman mengenai jemputan itu sudah disampaikan, manakala kad jemputan rasmi dijangka dikeluarkan hari ini.
Menurutnya, mesyuarat berkenaan tidak memerlukan notis tujuh hari seperti mesyuarat biasa kerana ia dikategorikan sebagai mesyuarat tergempar berdasarkan perlembagaan parti.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Himpunan dan Munajat Penyatuan Ummah (Himpak) sempena Karnival Rakyat Kelantan 36 Tahun Membangun Bersama Islam (MBI) di Stadium Sultan Muhammad IV di Kota Bharu malam tadi, lapor Sinar Harian.
Takiyuddin berkata, mesyuarat yang dijadual berlangsung di ibu pejabat Pas itu akan membincangkan beberapa perkara, termasuk kedudukan PN sebagai gabungan politik serta persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Katanya, kedudukan parti komponen turut menjadi agenda perbincangan, termasuk Bersatu yang difahamkan sudah memilih kerusi dan memutuskan untuk menggunakan logo sendiri.
“Perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat sekiranya mereka (Bersatu) hadir,” katanya.
Mengulas keputusan mahkamah, Takiyuddin berkata, perintah penangguhan terhadap penggantungan dan pembatalan PN membolehkan gabungan itu kembali menjalankan aktiviti serta mengadakan mesyuarat seperti biasa.
Beliau berkata, notis bertarikh 23 September lalu sebelum ini mengarahkan semua kegiatan PN digantung, kecuali aktiviti berkaitan menjawab tunjuk sebab yang dikemukakan oleh RoS.
“Berdasarkan keputusan mahkamah semalam, PN dibenarkan mengadakan mesyuarat dan menjalankan aktiviti.
“Dengan adanya perintah penangguhan penggantungan dan pembatalan itu, PN kini boleh melaksanakan tanggungjawab, aktiviti dan mesyuarat seperti biasa,” katanya.





