SEORANG remaja lelaki berusia 16 tahun maut manakala lima lagi cedera selepas kereta Proton Wira dinaiki mereka terbabas sebelum merempuh pokok berhampiran surau di Kampung Jalan Baru, Simpang Lima di Batu Pahat malam tadi.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Pahat, Pegawai Bomba Kanan I Zulmazi Ariffin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 10.16 malam.
Beliau berkata, sebanyak 13 anggota dikejarkan ke lokasi bersama dua unit Emergency Medical Rescue Services (EMRS) dan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT).
“Setibanya di lokasi, pasukan keluaran operasi (PKO) mendapati kereta Proton Wira yang dinaiki enam mangsa berusia antara tiga hingga 27 tahun terbabas dan melanggar pokok.
“Mangsa terdiri daripada dua lelaki dewasa, dua wanita dewasa dan dua kanak-kanak lelaki. Seorang mangsa yang maut dikenali sebagai Putera Muhaimin Qudrat Mohd Noor Wandi, 16, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Lima lagi mangsa, Puteri Nur Fairuza Balqis Mohd Noor Wandi, 15, Nor Azlan Shaharudin, 27; Putera Khairunas Mohd Noor Wandi, 11, Putera Aidin Firdaus Mohd Noor Wandi, 3, dan Rahmah A Rahim, 26, cedera dan dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.





