![]()
BARISAN Nasional (BN) kekal dengan persetujuan pembahagian kerusi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dengan menetapkan 21 kerusi untuk ditandingi gabungan itu, sekali gus menutup ruang rundingan bagi permintaan tambahan daripada Perikatan Nasional (PN).
Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, persetujuan yang dimeterai bersama Pas dan rakan strategiknya menerusi ‘bai’ah’ atau aku janji perlu dihormati semua pihak.
Beliau berkata, tujuh kerusi yang tidak ditandingi Barisan Nasional (BN) sudah diperuntukkan kepada Pas dan rakan gabungannya untuk diagihkan sesama mereka.
“Saya pun mendengar adanya usaha-usaha ‘pengintaian’ itu, tetapi kita sudah ada ‘bai’ah’, kita sudah ada perjanjian bahawa mereka diberikan peluang untuk merangkul tujuh kerusi yang tidak ditandingi oleh BN.
“Kita serahkan kepada mereka untuk pengagihan dalam kalangan parti gabungan di dalam PN,” katanya ketika ditemui media selepas menghadiri Majlis Graduasi Huffaz dan Apresiasi Kecemerlangan Ulul Albab di sebuah hotel di Melaka hari ini.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man semalam dilaporkan berharap rundingan dapat diadakan bagi mendapatkan tambahan satu atau dua kerusi pada PRN Melaka.
Tuan Ibrahim berkata, walaupun Ahmad Zahid mengumumkan tujuh kerusi diperuntukkan kepada Pas dan rakan strategiknya, keputusan muktamad pembahagian kerusi masih perlu diputuskan Jawatankuasa Perundingan Kerusi.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri menegaskan persetujuan sedia ada sudah dimeterai dan perlu dipatuhi.
“Setakat ini, itulah yang sudah diputuskan dan kita pegang apa yang kita persetujui bersama,” katanya.
Pada 21 Oktober lalu, Ahmad Zahid mengesahkan rundingan kerjasama politik antara BN dan Pas bagi menghadapi PRN Melaka sudah dimuktamadkan, dengan BN bertanding di 21 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala Pas dan rakan strategiknya diperuntukkan tujuh kerusi.





