POLIS sedang mengesan pemilik, pemandu dan penumpang sebuah Proton Wira berwarna biru selepas dua lelaki dirakam duduk di atas bumbung kereta yang sedang bergerak di Taman Puteri Wangsa, Ulu Tiram di Johor Bahru.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Azrul Hisham Mohd Shaffei berkata, pihaknya mengesan video dan gambar kejadian yang tular kira-kira jam 9 pagi ini.
Menurutnya, berdasarkan rakaman itu, kereta berkenaan dilihat bergerak dari Jalan Beladau 32 menuju ke Jalan Bukit Jaya.
“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 47 Akta Pengangkutan Jalan 1987, berkaitan kesalahan membawa individu di luar badan kenderaan atau dalam keadaan yang boleh mengganggu kawalan pemandu serta membahayakan pengguna jalan raya lain.
“Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti individu yang terbabit dalam kejadian berkenaan,” katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta menghubungi Balai Polis Trafik Johor Bahru Selatan di talian 07-223 7977 bagi membantu siasatan.





