PRN Melaka: BN tunggu keputusan SPR sebelum muktamad kerjasama

BARISAN Nasional (BN) dijangka memuktamadkan bentuk kerjasama dengan dua gabungan politik bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengadakan mesyuarat pada 7 Oktober ini.

Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, rundingan bersama kedua-dua rakan politik terbabit kini hampir mencapai persetujuan, dengan tahap perbincangan dianggarkan 95 peratus.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, keputusan mengenai gabungan yang akan bekerjasama dengan BN hanya akan dibuat selepas SPR mengumumkan perkara berkaitan PRN Melaka secara rasmi.

“Skala 1 sampai 10 saya boleh katakan pada skala 9.5. Dengan kedua-duanya kami telah adakan perbincangan sebenarnya.

“Selepas itu kami (BN) akan menunggu keputusan mesyuarat SPR pada 7 Oktober nanti dan selepas itu akan ada pengumuman memuktamadkan dengan gabungan mana harus kita bekerjasama atau mengadakan jalinan kesefahaman untuk kita bergerak pada PRN Melaka,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Penutup Wacana Semarak Patriotisme, Seminar Ilmuwan Islam di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam hari ini, lapor Buletin TV3.

Yang turut hadir, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir dan Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata, BN masih membuka ruang untuk berbincang dengan mana-mana gabungan politik bagi menentukan bentuk kerjasama yang sesuai menjelang pilihan raya berkenaan.

Mengulas kemungkinan Pas menggunakan logo BN sekiranya kerjasama antara kedua-dua gabungan dicapai, beliau berkata, perkara itu belum dibincangkan secara rasmi.

Menurutnya, berdasarkan amalan pada PRN Johor dan Negeri Sembilan, Pas berkemungkinan lebih selesa menggunakan logo sendiri sekiranya bertanding pada PRN Melaka.

“Perkara itu belum dibincangkan secara rasmi tapi saya yakin jika Pas bertanding, mereka lebih selesa menggunakan logo mereka sendiri sebagaimana digunakan di PRN Johor dan Negeri Sembilan.

“Kami tidak ada masalah kalau mereka mahu menggunakan logo yang mereka akan kemukakan perkara itu, itu soal parti mereka. Tetapi tentunya BN akan tetap menggunakan logo kami,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, persiapan jentera BN di peringkat akar umbi tetap diteruskan meskipun bentuk kerjasama dengan rakan politik masih belum dimuktamadkan.

Katanya, jentera parti khususnya di pusat daerah mengundi (PDM) akan digerakkan secara bersama bagi memastikan persediaan menghadapi PRN Melaka berjalan lancar.

“Di peringkat akar umbi jentera terutama di pusat daerah mengundi (PDM) kita akan bergerak bersama-sama walaupun kita belum putuskan dengan rakan mana kita bergerak.

“Tapi kita merancang menggerakkan jentera ini agar gelombang biru di Melaka benar-benar dapat diterjemahkan untuk ianya akan menjadi satu gelombang akhirnya akan mara ke seluruh negara pada waktunya,” katanya.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here