Rundingan kerusi BN-PN bercelaru, mampukah jadi alternatif PH-BN?

KEKUSUTAN rundingan pembahagian kerusi antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) menimbulkan persoalan sama ada kedua-dua gabungan itu mampu menawarkan alternatif kepada kerjasama Pakatan Harapan (PH)-BN, khususnya apabila rundingan mereka masih berdepan percanggahan kepentingan parti.

Pensyarah Kanan di Jabatan Sains Politik, Pentadbiran Awam dan Pengajian Pembangunan, Fakulti Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Malaya, Dr Mohammad Tawfik Yaakub berkata, masalah organisasi PN serta rundingan pembahagian kerusi menjadi antara faktor yang menyukarkan kerjasama itu diterjemahkan secara terbuka menjelang penamaan calon.

DR Mohammad Tawfik Yaakub

Menurutnya, rundingan yang masih belum mencapai kesepakatan turut dipengaruhi usaha Pas dan PN mendapatkan tambahan satu atau dua kerusi daripada tujuh kerusi yang ditawarkan.

“Saya berpandangan punca utama kerjasama tidak dapat diterjemahkan secara terbuka hari ini menjelang penamaan calon ialah disebabkan oleh organisasi PN yang bermasalah,” katanya kepada utusanmelayuplus hari ini.

Beliau berkata, kemelut itu bukan sekadar berkaitan jumlah kerusi, sebaliknya turut mencerminkan pertarungan kedudukan, pengaruh dan kuasa tawar-menawar antara parti.

“Matlamat penyatuan ummah sehingga mendorong Pas untuk meneroka kembali dan memulihkan hubungan baik dengan BN seolah-olah semakin kehilangan makna apabila Pas menonjolkan semula usaha mempertahankan kepentingan dan memperluaskan pengaruh politik sendiri,” katanya.

Bagaimanapun, Pensyarah Kanan di Pusat Pengajian Teras, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof Madya Dr Mohd Azmir Mohd Nizah berpandangan kemelut berkenaan tidak semestinya menggambarkan masalah besar dalam kerjasama kedua-dua pihak.

PROF Madya Dr Mohd Azmir Mohd Nizah

Beliau berkata, setiap parti mempunyai kepentingan masing-masing, manakala kesukaran yang timbul ketika ini lebih menjurus kepada persoalan teknikal dan pembahagian kawasan, bukannya penolakan kerjasama secara mutlak.

“Saya tidak nampak ada kemelut yang besar dalam kerjasama ini. Setiap parti pastinya mempunyai kepentingan masing-masing,” katanya.

Mohd Azmir berkata, kesediaan kedua-dua pihak untuk terus berunding sehingga peringkat akhir menunjukkan masih terdapat kemahuan politik untuk mencari titik persetujuan.

“Fakta bahawa kedua-dua parti terus kekal di meja rundingan sehingga ke peringkat akhir membuktikan wujud iltizam politik (political will) untuk mencari titik temu, bukannya jalan buntu,” katanya.

Sementara itu, Pensyarah di Bahagian Sains Politik, Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Madya Dr Azmil Mod Tayeb berkata, kegagalan mencapai persetujuan pembahagian kerusi boleh menjejaskan usaha penyatuan Melayu yang sering diketengahkan kedua-dua parti.

Beliau berkata, jika UMNO kekal dengan pendirian tidak menyerahkan beberapa kerusinya kepada Pas, keadaan itu bukan permulaan yang baik untuk membina kerjasama politik yang lebih kukuh.

“Bagaimana perpaduan Melayu boleh diwujudkan jika parti-parti Melayu-Islam sendiri tak boleh berpadu dan masih tetap pentingkan parti sendiri?” katanya.

PROF Madya Dr Azmil Mod Tayeb

Menurut Azmil, pertelingkahan berpanjangan bukan sahaja memberikan gambaran buruk terhadap retorik penyatuan ummah, malah berisiko mencetuskan ketegangan antara penyokong parti dan perpecahan dalam masyarakat Melayu.

Beliau berkata, kerjasama politik yang dilaungkan atas nama perpaduan perlu disertai kesediaan mengutamakan kepentingan bersama, bukannya usaha memperluaskan pengaruh masing-masing sehingga menjejaskan persefahaman antara parti.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here