KPDN perlu pastikan prestasi ekonomi selesaikan masalah rakyat – Anwar

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) perlu memastikan prestasi ekonomi negara yang positif diterjemahkan kepada penyelesaian terhadap masalah kos sara hidup yang dihadapi rakyat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pertumbuhan ekonomi yang memberangsangkan perlu disertai usaha memastikan kesejahteraan rakyat terus terbela.

“Kita bangga bila ekonomi melonjak tetapi kita harus juga santuni apakah ekonomi yang melonjak itu dapat selesaikan masalah rakyat,” katanya ketika berucap pada pelancaran Program Sentuhan MADANI dan Pelan Tindakan Kos Sara Hidup Negara 2026–2030 (NCLAP30) di Stadium Hang Jebat di Melaka hari ini.

Perdana Menteri turut memuji pelaksanaan Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) yang disifatkan sebagai antara usaha KPDN membantu rakyat mendapatkan barangan keperluan pada harga berpatutan.

Menurutnya, program berkenaan perlu terus diperluas supaya manfaatnya dapat dinikmati penduduk di kampung, bandar dan kawasan luar bandar.

Dalam pada itu, NCLAP30 yang dirangka untuk tempoh lima tahun memberi tumpuan kepada dua misi utama, iaitu meningkatkan pendapatan rakyat dan menstabilkan harga barangan.

Pelan itu merangkumi lapan kluster, 35 strategi dan 429 ikhtiar bagi menangani isu kos sara hidup secara lebih menyeluruh.

Pelaksanaan pelan berkenaan diharap dapat memperkukuh usaha kerajaan menangani tekanan kos sara hidup serta memastikan pertumbuhan ekonomi negara memberi manfaat langsung kepada rakyat.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here