SEORANG wanita warga asing berusia 57 tahun meninggal dunia selepas ditemukan tenggelam dalam kolam renang sebuah kondominium di Tanjung Bungah petang tadi.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu pada jam 6.10 petang.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati mangsa sedang menjalani terapi akuatik bersama suaminya di kolam renang berkenaan kira-kira jam 5.20 petang.
“Suaminya meninggalkan wanita itu selama kira-kira lima minit untuk menjawab panggilan telefon daripada seorang rakan.
“Apabila kembali, dia mendapati isterinya sudah tenggelam, dipercayai jatuh dari pelampung,” katanya, lapor BH.
Abdul Rozak berkata, suami mangsa kemudian terjun ke dalam kolam dan menarik isterinya ke tepi sebelum memberikan bantuan pernafasan (CPR).
Bagaimanapun, petugas ambulans mengesahkan wanita itu meninggal dunia di lokasi pada jam 5.49 petang.
Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati tiada unsur jenayah dalam kejadian itu dan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut, namun siasatan lanjut masih dijalankan.





