Sultan Selangor dukacita titah baginda disalah tafsir

SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa dukacita apabila titah dan teguran baginda berhubung pentadbiran negeri disalah tafsir sesetengah pihak, termasuk segelintir ahli politik.

Baginda menegaskan, teguran yang disuarakan bukan bertujuan mencampuri urusan pentadbiran, sebaliknya lahir daripada tanggungjawab memastikan kebajikan, kesejahteraan dan kepentingan rakyat sentiasa diberikan keutamaan.

“Beta tidak mahu rakyat melihat teguran beta sebagai suatu pertelingkahan atau pergeseran antara beta dengan kerajaan. Sebaliknya, beta mahu setiap teguran dilihat sebagai sebahagian daripada tanggungjawab beta memastikan pentadbiran negeri sentiasa mengambil berat kepentingan rakyat dan masa depan negeri Selangor.

“Apa yang mendukacitakan beta adalah apabila teguran atau ‘titah’ menurut bahasa istana, disalah tafsirkan oleh sesetengah pihak dan segelintir ahli-ahli politik,seolah-olah beta mahu mencampuri urusan pentadbiran kerajaan negeri atau mahu mengamalkan pemerintahan raja secara mutlak,” titah baginda.

Baginda turut menegaskan bahawa baginda memahami peranan dan tanggungjawabnya di bawah sistem Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen, selaras dengan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959 serta Perlembagaan Persekutuan.

Baginda bertitah demikian pada Istiadat Pemasyhuran Gelaran dan Mengangkat Sumpah serta Menjunjung Duli Orang-Orang Besar Istana dan Dato’ Diraja Selangor, sempena Sambutan Jubli Perak 25 Tahun Pemerintahan Sultan Selangor di Balairung Seri, Istana Alam Shah di Klang hari ini, lapor Buletin TV3.

Sultan Sharafuddin dalam pada itu turut mengingatkan kemajuan sesebuah negeri tidak seharusnya diukur semata-mata berdasarkan jumlah pelaburan, pembangunan pesat atau pencapaian Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang tinggi.

“Kemajuan sebenar adalah apabila hasil kekayaan negeri dapat dinikmati dan dikecapi oleh seluruh rakyat. Sebagai contohnya, sebuah negeri yang maju dan kaya, rakyat terutama golongan yang miskin dan susah seharusnya dapat manfaat dan menikmati kekayaan tersebut.

“Rakyat sepatutnya sentiasa mendapat pembelaan dari aspek tahap pendidikan yang baik, rumah yang mampu dimiliki, peluang pekerjaan yang luas serta dapat menikmati alam sekitar yang bersih dan sihat,” titah baginda.

Baginda turut menegaskan komitmen untuk terus memelihara kedudukan Islam sebagai agama negeri, di samping memastikan rakyat hidup dalam suasana aman, bersatu padu dan saling memahami.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here