Sultan Selangor gesa pemimpin politik ketepikan perebutan kuasa

PEMIMPIN politik di Selangor diingatkan supaya tidak menjadikan perbezaan pendirian sebagai punca perselisihan atau perebutan kuasa sehingga menjejaskan keharmonian serta pentadbiran negeri.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah, setiap pemimpin mempunyai tanggungjawab untuk memastikan kepentingan rakyat terus diberi keutamaan, selain bekerjasama dalam perkara yang membawa manfaat kepada negeri.

SULTAN Sharafuddin Idris Shah berkenan bergambar bersama Datuk Seri Amirudin Shari dan dua bekas Menteri Besar Selangor iaitu Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Dr Mohamad Khir Toyo di Shah Alam hari ini. GAMBAR: Facebook Selangor Royal Office

Baginda bertitah, perbezaan fahaman dan pendirian politik tidak seharusnya menjadi penghalang kepada usaha untuk bekerjasama demi pembangunan Selangor dan kesejahteraan rakyat.

Menurut baginda, kepimpinan yang baik perlu berlandaskan amanah serta tidak dipengaruhi kepentingan peribadi atau kepentingan kelompok tertentu.

“Tanggungjawab kepimpinan hendaklah dilaksanakan penuh amanah dengan mendahulukan kepentingan rakyat mengatasi kepentingan peribadi mahupun kelompok politik,” titah baginda yang dikongsi menerusi Facebook Selangor Royal Office hari ini.

Baginda turut mengingatkan pemimpin agar mengelakkan sebarang bentuk pertelagahan yang boleh mencetuskan perpecahan dalam kalangan masyarakat.

Dalam perkembangan sama, Sultan Sharafuddin berkenan bersantap bersama Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari serta dua bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Pertemuan itu berlangsung selepas baginda berkenan berangkat ke Majlis Bacaan Yasin, Tahlil dan Doa Selamat sempena Sambutan Jubli Perak 25 Tahun Pemerintahan Baginda di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Shah Alam hari ini.

Baginda turut berkenan menunaikan solat Jumaat bersama kira-kira 15,000 jemaah yang hadir pada majlis berkenaan.

Pertemuan bersama tiga tokoh yang pernah dan sedang menerajui pentadbiran Selangor itu turut memperlihatkan hubungan baik antara institusi diraja dengan kepimpinan politik negeri.

Sultan Sharafuddin turut menekankan bahawa kemajuan Selangor tidak seharusnya dilihat dari sudut pembangunan fizikal dan ekonomi semata-mata, sebaliknya perlu disokong oleh keharmonian masyarakat serta kestabilan pentadbiran.

Justeru, baginda mahu pemimpin negeri terus memelihara sikap saling menghormati ketika berdepan perbezaan pandangan.

Baginda turut menekankan kepentingan menggunakan pendekatan perbincangan yang membina bagi menyelesaikan sebarang perbezaan, tanpa membiarkan perselisihan politik menjejaskan kepentingan rakyat.

Nasihat itu turut mengambil kira keperluan memastikan pentadbiran negeri kekal stabil supaya agenda pembangunan serta usaha meningkatkan kesejahteraan rakyat dapat diteruskan.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here