TINDAKAN kepimpinan Barisan Nasional (BN) yang meminggirkan suara MCA dalam pemilihan calon daripada parti komponen itu bagi Plihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 14 November ini bukanlah isu kecil.
Sebaliknya ia adalah satu isu serius atas sebab itulah Presiden MCA Datuk Seri Wee Ka Siong dan enam lagi pemimpin parti itu meninggalkan Majlis Pengumuman Calon BN di Ayer Keroh malam tadi.
Daripada kenyataan Ka Siong adalah jelas, MCA berasa kesal apabila kepimpinan BN menyerahkan kerusi yang sepatutnya ditandingi oleh mereka kepada Pas dan rakan strategiknya.
Apa yang dilakukan oleh BN mewujudkan persepsi apakah UMNO sudah tidak peduli lagi suara MCA? Atau UMNO sudah berasa selesa mendapat rakan baru sehingga meminggirkan sahabat karib mereka sekian lama dalam BN?

Ketika diminta mengulas apa yang berlaku ke atas MCA, Naib Presiden PKR Datuk Chang Lih Kang berkata, tindakan ini menimbulkan persoalan tentang keikhlasan UMNO dalam menjalin kerjasama politik.
‘’ Jika MCA, rakan komponen BN sejak sekian lama, pun merasakan mereka tidak dihormati, bagaimana pula dengan parti-parti lain yang menjalin kerjasama dengan BN? Adakah kerjasama tersebut berlandaskan prinsip dan kepercayaan, atau sekadar kepentingan politik dan kuasa?,’’ katanya.

Kenyataan Lih Kang itu dilihat senada dengan Naib Ketua Wanita PKR, Loh Ker Chean yang memberi pandangan agak keras dengan berkata,’’ Saya tak kesian atau simpati dengan MCA. Padan muka mereka. Takkan tak kenal dengan layanan buruk UMNO pada mereka?.
Sehubungan itu beliau menegaskan, berbeza dengan PH, Keadilan sebagai pendiri PH tidak bersikap sebagai abang besar atau kaki buli seperti UMNO dalam BN.
‘’PMX (Datuk Seri Anwar Ibrahim sentiasa bersikap konsultatif dan inklusif walaupun dengan parti kecil seperti UPKO dahulu. Justeru, PH ini lebih kukuh dan stabil dalam mentadbir negara,’’ katanya.

Sementara itu Ketua Penerangan Angkatan Muda PKR Danish Hairudin menyifatkan apa yang dilakukan oleh MCA menunjukkan bahawa mereka sedar mereka tidak dihormati oleh rakan gabungan sendiri, iaitu UMNO.
‘’Jelas sekali, UMNO terlalu teruja dengan kemungkinan memperoleh keuntungan politik jangka pendek melalui kerjasama dengan Pas sehingga langsung tidak menghiraukan MCA dan MIC,’’ katanya.
Beliau berkata, perkara ini turut menimbulkan persoalan sama ada mana-mana kerajaan gabungan yang melibatkan UMNO dan Pas akan mengetepikan suara serta kepentingan golongan minoriti begitu sahaja.
‘’Hakikatnya, MCA dan MIC secara keseluruhannya hanya mempunyai tiga kerusi di Dewan Rakyat dan tidak mempunyai sebarang jawatan menteri,’’ katanya.





