Wanita Malaysia terjatuh dalam lubang sedalam 10 meter ketika mendaki di Vietnam

SEORANG wanita warga Malaysia diselamatkan selepas tergelincir ke dalam lubang sedalam kira-kira 10 meter ketika mendaki di kawasan pergunungan Hon Bo di Da Lat, Vietnam hari ini.

Agensi Berita Vietnam (VNA) melaporkan, kejadian berlaku kira-kira jam 5.45 pagi ketika mangsa yang berusia 40 tahun dikenal pasti menerusi inisial G.S.W. sedang mendaki di kawasan berkenaan.

Lubang berkenaan dipercayai sebahagian daripada tapak perlombongan terbiar dengan diameter kira-kira 70 sentimeter, menyebabkan mangsa terperangkap selepas terjatuh ke dalamnya.

Rakan sekumpulan mangsa cuba menariknya keluar, namun usaha itu gagal sebelum pihak berkuasa tempatan dihubungi bagi mendapatkan bantuan, lapor Bernama.

Pihak berkuasa kemudian menyelaraskan operasi menyelamat bersama pasukan tempatan serta Bahagian Pencegahan Kebakaran, Pemadaman Bomba dan Penyelamat di bawah Jabatan Keselamatan Awam wilayah berkenaan.

Pasukan penyelamat berjaya membawa mangsa keluar dari lubang itu kira-kira jam 7.15 pagi sebelum membawanya ke Hospital Besar Lam Dong untuk mendapatkan rawatan kecemasan.

Maklumat awal mendapati wanita itu mengalami kecederaan pada buku lali kanan dan diberikan rawatan awal sebelum dipindahkan ke hospital untuk rawatan lanjut.

Gunung Hon Bo, berhampiran perkampungan bunga Thai Phien di Da Lat, merupakan antara lokasi popular untuk aktiviti mendaki, melihat fenomena awan dan fotografi kerana menawarkan pemandangan pusat bandar Da Lat, terutama pada awal pagi.

Bagaimanapun, keadaan muka bumi dan bahaya tersembunyi di kawasan pergunungan itu boleh mengundang risiko kepada pengunjung khususnya mereka yang tidak biasa dengan persekitaran setempat.

Sehubungan itu, pihak berkuasa menasihatkan pengunjung supaya sentiasa berhati-hati ketika meneroka kawasan pergunungan dan mengelakkan aktiviti mendaki secara bersendirian di lokasi yang tidak diketahui tahap keselamatannya.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here