Tiada piranha ditangkap sepanjang program mitigasi di Empangan Klau

JABATAN Perikanan Malaysia (DoF) mengesahkan tiada ikan piranha ditemukan atau ditangkap sepanjang Program Mitigasi Ikan Asing di Empangan Klau di Raub, yang diadakan selama dua hari bermula semalam.

Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Adnan Hussain berkata, bagaimanapun, keadaan itu tidak boleh dianggap sebagai bukti bahawa spesies berkenaan tiada di empangan terbabit, memandangkan penemuannya sebelum ini telah disahkan di kawasan itu.

Beliau berkata, program mitigasi berkenaan merupakan antara usaha pengurusan perikanan darat bagi mengawal populasi ikan asing serta mengurangkan risiko ancaman terhadap spesies ikan tempatan.

“Tiada ikan piranha ditemukan atau ditangkap sepanjang program ini. Namun, pemantauan dan penilaian saintifik perlu diteruskan bagi mengenal pasti kehadiran serta taburan spesies berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, tular dalam media sosial dakwaan penemuan seekor ikan yang menyerupai piranha di Empangan Klau sehingga mencetuskan pelbagai reaksi masyarakat.

DoF memaklumkan, selain aktiviti tangkapan, penyelidikan menggunakan kaedah DNA persekitaran atau environmental DNA (eDNA) turut dijalankan bagi membantu mengesan kemungkinan kehadiran ikan piranha di empangan itu.

Kaedah berkenaan membolehkan sampel air dianalisis untuk mengesan bahan genetik yang mungkin ditinggalkan oleh organisma akuatik.

“Keputusan akhir penyelidikan eDNA akan ditentukan selepas proses analisis dan penilaian saintifik selesai. Justeru, sebarang kesimpulan mengenai status kehadiran piranha di Empangan Klau perlu mengambil kira hasil analisis itu bersama maklumat pemantauan dan bukti lapangan yang berkaitan,” menurut kenyataan itu.

Menurut DoF, program berkenaan turut bertujuan mengurangkan populasi ikan asing, menilai komposisi ikan di perairan empangan serta meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai ancaman spesies asing terhadap biodiversiti dan keseimbangan ekosistem akuatik.

Program yang dijalankan di empangan berkeluasan kira-kira 25 kilometer persegi itu membabitkan 150 peserta, terdiri daripada 100 pemancing, 32 peserta menjala dan 18 peserta menjaring.

Sepanjang program, sebanyak 156.6 kilogram ikan asing direkodkan, membabitkan tiga kumpulan utama iaitu Peacock Bass, Tilapia Zebra dan Lampam Jawa.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here