Tiga sekeluarga termasuk suami isteri maut kemalangan di Bukit Bauk

TIGA sekeluarga termasuk pasangan suami isteri maut selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) dinaiki mereka bertembung dengan pacuan empat roda milik Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Kilometer 90, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, Bukit Bauk di Dungun petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, mangsa yang maut ialah Mohamad Zulkifli Ishak, 32, isterinya, Norshila Zali, 36, dan adik Mohamad Zulkifli, Muhammad Alif Syukri, 18.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Paka, Norzahari Mohd Nor berkata, ketiga-tiga mangsa menaiki Nissan Grand Livina ketika kejadian.

Menurutnya, Mohamad Zulkifli dan isterinya yang beralamat di Kampung Pasir Era, Kuala Krai, Kelantan, dalam perjalanan pulang ke rumah selepas menjemput Muhammad Alif Syukri yang menuntut di Politeknik Sultan Ahmad Shah (Polisas), Kuantan.

“Sebaik tiba di tempat kejadian, MPV itu dikatakan bertembung dengan sebuah pacuan empat roda milik TNB.

“Dua mangsa di dalam MPV terbabit disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala seorang lagi yang parah dikejarkan ke Hospital Dungun sebelum disahkan meninggal dunia di hospital berkenaan,” katanya, lapor Harian Metro.

Beliau berkata, dua individu yang berada di dalam kenderaan pacuan empat roda itu turut cedera dan dihantar ke hospital sama untuk mendapatkan rawatan.

Mayat ketiga-tiga mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here