EMPAT buah rumah separuh kekal di Lorong Cempaka 1 berhampiran UTC Ampangan di Seremban musnah hampir 80 peratus dalam kebakaran yang berlaku malam ini.
Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan setakat ini.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sembilan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 8.17 malam.
Menurutnya, jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seremban tiba di lokasi lima minit kemudian iaitu pada jam 8.22 malam.
“Setibanya di lokasi, komander operasi mendapati kebakaran membabitkan empat rumah separuh kekal yang musnah hampir 80 peratus.
“Kerja pemadaman dijalankan menggunakan tiga aliran hos dengan penglibatan anggota dari BBP Seremban serta bantuan BBP Ampangan dan BBP Seremban 2,” katanya malam ini, lapor BH.
Jurucakap itu berkata, kesemua rumah terbabit dilaporkan berpenghuni dan operasi memadam kebakaran sepenuhnya masih dijalankan, termasuk usaha mencari serta menyelamat mangsa.





