TINDAKAN Barisan Nasional (BN) mengekalkan formula penyandang (incumbent) dalam agihan kerusi adalah satu pendekatan rasional bagi mempertahankan kawasan sedia ada, meskipun ia mencetuskan ketidakpuasan hati pihak tertentu.
Pakar geostrategis dan analisis politik, Prof Dr Azmi Hassan berpandangan, formula yang digunakan BN mempertahankan 21 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dimenangi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka lalu akan terus dikekalkan di kerusi berkenaan, termasuk dua kerusi yang dimenangi oleh MCA.
Bagaimanapun beliau berkata, keputusan MCA yang merasa kecil hati akibat ketiadaan perbincangan lanjut berhubung perkara itu seperti yang diakui sendiri oleh Presidennya, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong memberikan implikasi yang kurang sihat kepada keseluruhan gabungan.
“Cuma MCA dia rasa kecil hati kerana tidak berbincang, dan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sendiri mengakui tidak berbincang dengan sepenuhnya. Tapi hakikatnya, Presiden parti komponen sewajarnya tahu formula ini,” katanya kepada utusanmelayuplus hari ini.
Hubungan dalam komponen BN kini diuji apabila berdepan dengan pengagihan kerusi DUN menjelang PRN Melaka pada 14 November depan yang mungking menjadi medan pengukur kekuatan gabungan parti menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16).
Ketegangan ini timbul apabila salah satu parti komponen merasakan peranan dan suara mereka kurang diambil kira dalam rundingan kerusi ‘tradisional’, biarpun formula kemenangan lampau menjadi sandaran utama kepimpinan pusat UMNO dan BN dalam memastikan kesepakatan jentera tidak terjejas di peringkat akar umbi.
Bahkan, polemik agihan kerusi ini turut mencerminkan cabaran besar yang dihadapi oleh gabungan pelbagai parti dalam mengimbangi tuntutan kerusi majoriti dengan aspirasi parti komponen minoriti.
Azmi menambah, walaupun ketidakpuasan hati dizahirkan melalui tindakan keluar dewan atau membantah keputusan pencalonan, dinamika politik semasa menuntut kedua-dua pihak mencari titik persefahaman agar pergeseran terbuka tidak dimanfaatkan oleh blok lawan.
Tambah beliau, tindakan wakil MCA keluar dari dewan ketika pengumuman calon di Melaka baru-baru ini sebenarnya lebih membawa impak negatif kepada parti itu sendiri berbanding BN secara keseluruhan, kerana BN mempunyai justifikasi yang kukuh di sebalik keputusan tersebut.
“Cuma mungkin lagaknya (UMNO) seperti ‘abang besar’ lah, tapi hakikatnya kira OK lagilah MCA dapat kekalkan dua kerusi,” tegas beliau.
Mengulas lanjut, beliau berpandangan bahawa formula pemberian dua kerusi kepada MCA, manakala lima kerusi lagi yang ditandingi diserahkan kepada Perikatan Nasional (PN) atau parti lain, adalah wajar bagi memudahkan kelangsungan kerjasama politik.
“Apa yang dilakukan oleh MCA itu boleh dipusing oleh BN supaya protes MCA itu lebih menguntungkan BN, kerana mengikat perikatan itu daripada meminta lebih daripada tujuh yang telah diberikan,” jelasnya.
Azmi berkata, isu ini boleh diuruskan dengan baik bagi memastikan naratif yang dibawa terus menguntungkan kestabilan gabungan serta mengelakkan sebarang tuntutan berlebihan di masa hadapan.





