SEORANG guru tuisyen dan jurulatih kecergasan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Muar hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak.
Kedua-dua tertuduh, Wong Jhun Kiat, 32, dan Mahadir Ahmad, 48, membuat pengakuan itu selepas tiga pertuduhan terhadap setiap seorang dibacakan di hadapan Hakim Mohd Khairi Haron.
Wong didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap dua murid perempuan berusia enam tahun di sebuah pusat tuisyen di Batu Pahat, lapor Harian Metro.
Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang dibaca bersama Seksyen 16 akta sama.
Sementara itu, Mahadir yang merupakan duda dan bapa kepada seorang anak didakwa melakukan kesalahan sama terhadap rakan anak perempuannya yang berusia 10 tahun di rumahnya di Batu Pahat pada jam 2 petang, 17 Oktober lalu.
Bagi pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 14(a) dan Seksyen 15(a)(ii) akta sama.
Berdasarkan laporan, Wong didakwa mengambil kesempatan terhadap mangsa ketika mengajar tuisyen, manakala Mahadir didakwa melakukan perbuatan itu ketika mangsa mandi di rumahnya.
Kes berkenaan terbongkar selepas seorang daripada mangsa pulang ke rumah dan menceritakan kejadian itu kepada ibu bapanya.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Amirah Sapian, manakala Wong diwakili peguam, Ahmad Azimuddin Bahamdin. Mahadir pula tidak diwakili peguam.
Mahkamah membenarkan Wong diikat jamin RM10,000, manakala Mahadir RM12,000. Kedua-dua tertuduh membayar jaminan berkenaan.
Mahkamah menetapkan 16 November ini untuk sebutan semula kes bagi penyerahan dokumen serta pelantikan peguam oleh Mahadir.





