Tindakan Ka Siong manifestasi keretakan, krisis rundingan MCA-UMNO

 

Oleh Prof Madya Dr Hamdan Mohd Salleh

PADA pandangan saya, tindakan  Presiden MCA Datuk Seri Wee Ka Siong meninggalkan Majlis Pengumuman Calon Barisan Nasional (BN) di Ayer Keroh, Melaka pada Jumaat lalu, bukan sekadar protes terhadap pembahagian kerusi, tetapi manifestasi keretakan kepercayaan dan krisis rundingan politik antara UMNO dengan MCA.

Pada PRN Melaka 2021, MCA bertanding di tujuh kerusi tetapi hanya memenangi dua, iaitu Machap Jaya dan Klebang. Bagi PRN kali ini  BN hanya mengekalkan dua kerusi tersebut kepada MCA.

Kerusi yang berpotensi terjejas termasuk Ayer Keroh, Kesidang, Kota Laksamana, Bandar Hilir dan Bemban, iaitu lima lagi kawasan yang pernah ditandingi MCA pada 2021. Keadaan ini menimbulkan persoalan tentang kedudukan MCA dalam rundingan kerusi, khususnya apabila sebahagian kerusi berkenaan kini berada dalam perhitungan rakan politik lain.

Namun, kesannya bukan terbatas pada lima kerusi tersebut. Machap Jaya dan Klebang sendiri boleh menerima tempias sekiranya pertikaian ini melemahkan penyelarasan serta mobilisasi jentera BN, lebih-lebih lagi apabila kedua-dua penyandang turut menyokong pendirian kepimpinan MCA.

Saya melihat pertikaian ini bukan bermaksud UMNO dan MCA sudah berpecah, sebaliknya memperlihatkan bahawa formula perkongsian kuasa tradisional BN sedang diuji. UMNO tentunya mahu memaksimumkan peluang kemenangan melalui pembahagian kerusi berdasarkan kebolehmenangan calon, tetapi MCA pula melihatnya daripada sudut penghormatan terhadap kedudukan dan haknya sebagai parti komponen.

BN perlu berhati-hati. Kerusi boleh dirunding dan diagihkan, tetapi kesetiaan jentera tidak boleh dipaksa. Dalam pilihan raya, keretakan di peringkat kepimpinan mungkin boleh diselesaikan dengan perundingan, tetapi rasa tidak puas hati di akar umbi boleh diterjemahkan melalui tindakan tidak keluar mengundi atau enggan membantu kempen.

Menjelang PRN Melaka, ujian sebenar bukan sekadar kemampuan BN membahagikan kerusi, tetapi sejauh mana gabungan itu mampu mengekalkan keyakinan serta disiplin politik dalam kalangan parti komponennya.

Pada saya, kenyataan pemimpin perlu dilihat daripada dua sudut. Pertama, ia sebahagian daripada persaingan naratif politik menjelang PRN Melaka. Kedua, kita tidak boleh menolak bahawa tindakan Ka Siong sendiri memperlihatkan wujudnya rasa tidak puas hati dalam hubungan UMNO-MCA, khususnya soal rundingan dan pembahagian kerusi.

Isunya bukan semata-mata MCA diberikan dua kerusi, tetapi soal kepercayaan dan penghormatan terhadap kedudukannya sebagai rakan komponen BN. MCA mungkin tidak lagi mempunyai kekuatan politik seperti dua dekad lalu, tetapi itu tidak bermakna suaranya boleh diketepikan dalam proses membuat keputusan.

Jika perselisihan ini berterusan sepanjang PRN Melaka, PKR dan PH mempunyai ruang untuk mendapat kelebihan politik, khususnya dari sudut persepsi pengundi terhadap kestabilan dan kesepaduan BN. Isu ini boleh mengalihkan perhatian daripada tawaran dasar dan calon kepada persoalan sama ada BN sendiri mampu menguruskan hubungan sesama komponennya.

Dari sudut pilihan raya pula, kesannya boleh dilihat pada tahap komitmen jentera MCA dan kemungkinan sebahagian penyokong tradisinya mengambil sikap berkecuali. Keadaan ini boleh membuka ruang persaingan kepada PH, khususnya DAP, dalam kawasan yang mempunyai pengundi Cina yang signifikan. Namun, tidak semestinya ketidakpuasan hati terhadap BN akan diterjemahkan secara automatik kepada sokongan terhadap PH.

Menariknya, PKR dan UMNO sendiri merupakan rakan dalam Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan. Jadi, kritikan PKR terhadap UMNO juga memperlihatkan betapa kerjasama di Putrajaya tidak semestinya menghapuskan persaingan politik di peringkat negeri.

Saya tidak melihat MCA akan terus meninggalkan BN kerana episod ini. Namun, jika isu ini gagal diselesaikan sebelum penamaan calon pada 31 Oktober, persoalan lebih besar ialah sejauh mana MCA masih mempunyai pengaruh sebenar dalam menentukan keputusan gabungan.

Akhirnya, dalam politik pilihan raya, bukan semua keretakan perlu berakhir dengan perpecahan parti untuk memberikan kesan. Ada kalanya cukup sekadar jentera tidak bekerja sepenuh hati, dan kesannya boleh dirasai di peti undi.

BN mungkin masih dapat mengekalkan MCA dalam gabungan, tetapi itu tidak semestinya bermakna rasa percaya yang terjejas dapat dipulihkan dengan segera.

Tindakan Ka siong juga merupakan satu isyarat politik yang agak serius, apatah lagi apabila tindakan tersebut turut mendapat sokongan kepimpinan enam bahagian MCA Melaka serta dua penyandang DUN parti itu. Persoalan sekarang bukan lagi sekadar berapa kerusi MCA diperuntukkan, tetapi sejauh mana tindakan Ka Siong itu boleh mempengaruhi komitmen keseluruhan jentera MCA untuk membantu BN dalam PRN Melaka.

Kita perlu faham, apabila seorang presiden parti secara terbuka meninggalkan majlis pengumuman calon gabungannya sendiri, mesej yang sampai kepada akar umbi tentunya cukup kuat. Walaupun Ka Siong menjelaskan tindakannya bukan bertujuan memboikot BN, ia tetap boleh menimbulkan persoalan dalam kalangan petugas MCA sama ada mereka perlu memberikan komitmen sepenuhnya terhadap keputusan yang dipertikaikan oleh kepimpinan sendiri. Inilah risiko politik yang perlu diperhatikan.

Jika kita melihat keputusan PRN Melaka 2021, BN menang 21 daripada 28 kerusi, tetapi hanya memperoleh sekitar 38.4 peratus undi popular. Lebih menarik, beberapa kerusi BN dimenangi dengan majoriti yang sangat kecil. Serkam hanya 79 undi, Pengkalan Batu 131 undi dan Duyong 200 undi. Sementara itu, Gadek dan Durian Tunggal masing-masing mencatat majoriti 559 undi.

Angka ini penting kerana dalam pertandingan yang rapat, sebarang pengurangan komitmen jentera boleh memberikan kesan. Namun, kesannya perlu dilihat berdasarkan kekuatan sebenar MCA di setiap kawasan dan tidak boleh diandaikan sama bagi semua kerusi UMNO atau MIC.

Dua kerusi MCA sendiri, Machap Jaya dan Klebang, juga tidak terkecuali. Pada 2021, Ngwe Hee Sem menang di Machap Jaya dengan majoriti 938 undi, manakala Lim Ban Hong menang di Klebang dengan majoriti 876 undi. Kedua-dua penyandang ini menyokong pendirian Wee. Maka, sekiranya pertikaian berterusan, BN bukan sahaja berhadapan cabaran menyelaraskan jentera antara parti komponen, tetapi juga persoalan bagaimana MCA sendiri mahu menggerakkan kempen di kerusi yang dipertahankannya.

Saya melihat tindakan Ka Siong ini mempunyai kesan politik yang lebih luas daripada sekadar perbalahan kepimpinan. MCA bertanding di tujuh kerusi pada 2021 tetapi hanya diperuntukkan dua kerusi dalam pengumuman awal BN kali ini.

Apabila Ka Siongh mempertikaikan proses rundingan dan kerusi yang pernah ditandingi MCA diberikan kepada parti lain, ia boleh menimbulkan rasa bahawa MCA semakin kehilangan kedudukan tawar-menawar dalam BN. Jika persepsi ini berakar dalam kalangan ahli, ia berpotensi mempengaruhi kesungguhan mereka membantu calon gabungan.

Dalam pilihan raya, jentera bukan sekadar memasang bendera atau memenuhi majlis ceramah. Mereka mempunyai jaringan pengundi, hubungan komuniti dan pengalaman menggerakkan penyokong. Jika ada petugas yang memilih untuk tidak aktif, kesannya mungkin tidak kelihatan secara terbuka, tetapi boleh dirasai dalam usaha mendapatkan undi, khususnya bagi kerusi yang sebelum ini dimenangi dengan majoriti kecil.

Bagaimanapun, kita juga perlu berlaku adil. Tindakan Ka Siong belum membuktikan bahawa MCA akan memboikot kempen BN. Pengerusi BN Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sudah menyatakan kesediaan untuk menyelesaikan pertikaian ini sebelum penamaan calon pada 31 Oktober. Tambahan pula, kerjasama BN dengan Pas kali ini menjadikan pola pertandingan berbeza daripada 2021. Justeru, majoriti terdahulu merupakan petunjuk tentang rapatnya persaingan, bukannya ramalan keputusan PRN kali ini.

Pada saya, persoalan paling penting ialah sama ada tindakan Ka Siong hanya berakhir sebagai protes di peringkat kepimpinan, atau berkembang menjadi krisis keyakinan dalam kalangan jentera MCA sendiri. Jika yang kedua berlaku, kesannya boleh melangkaui dua kerusi MCA dan menyentuh beberapa kerusi BN yang mempunyai sejarah kemenangan tipis.

Akhirnya, BN boleh menyelesaikan soal pembahagian kerusi melalui rundingan, tetapi belum tentu dapat memulihkan sepenuhnya rasa percaya dan semangat petugas dalam masa yang singkat. Dalam pilihan raya, ada perbezaan besar antara jentera yang hadir kerana arahan dengan jentera yang bekerja kerana percaya kepada perjuangan bersama.

Itulah sebenarnya ujian terbesar BN susulan tindakan  Ka Siong menjelang PRN Melaka pada 14 November ini.

* Prof Madya Dr Hamdan Mohd Salleh adalah Timbalan Naib Canselor (Pembangunan Pelajar & Jaringan Komuniti) Universiti Selangor (Unisel)



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here