Bunuh rakan sekerja kerana RM20, pekerja ladang dipenjara 18 tahun

SEORANG pekerja ladang kelapa sawit dihukum penjara 18 tahun oleh Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu hari ini selepas mengaku bersalah menyebabkan kematian rakan sekerjanya dalam pertengkaran berkaitan wang RM20.

Hukuman terhadap Risdi Baharuddin, 29, dijatuhkan Pesuruhjaya Kehakiman, Ratanah Devi Yusof Perumal selepas tertuduh mengaku bersalah terhadap pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan.

Mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara itu berkuat kuasa dari tarikh Risdi ditahan pada 31 Januari 2025.

Lelaki warga Indonesia yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri itu juga dirujuk kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan lanjut.

Mengikut pertuduhan, Risdi didakwa menyebabkan kematian Jiecy Rondian dengan niat mendatangkan kecederaan tubuh badan yang berkemungkinan mengakibatkan kematian.

Kesalahan itu dilakukan antara jam 6 petang hingga 8 malam, 30 Januari 2025, di kuarters pekerja Ladang Sawit Koperasi Anak-Anak Tempatan Pantai Barat, Jalan Ulu Bongawan dalam daerah Papar, lapor BH.

Bagi kesalahan itu, Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan pesalah juga boleh dikenakan denda.

Risdi pada awalnya didakwa atas kesalahan membunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan sebelum pertuduhan pilihan dikemukakan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Lovely Natasha Charles manakala tertuduh diwakili peguam Mohamed Zairi Zainal Abidin.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here