Isu pembakaran terbuka: Bryan pertahan Fahmi, gesa elak polemik diplomatik

KRITIKAN terhadap Menteri Komunikasi merangkap Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Seri Fahmi Fadzil berhubung isu pembakaran terbuka di Indonesia perlu dinilai berdasarkan konteks dan maklumat rasmi, bukannya dijadikan polemik politik yang boleh menjejaskan hubungan diplomatik Malaysia-Indonesia.

Timbalan Setiausaha Agung KEADILAN, Bryan Ng Yih Miin berkata, kenyataan awal Putrajaya pada 16 Oktober lalu dibuat berdasarkan semakan dalaman Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) terhadap data pematuhan serta deklarasi syarikat yang berdaftar di bawah bidang kuasa Malaysia.

BRYAN Ng Yih Miin

Menurutnya, Fahmi menjalankan tanggungjawab sebagai jurucakap kerajaan dengan menyampaikan maklumat rasmi yang disahkan kementerian dan agensi berkaitan ketika kenyataan itu dikeluarkan.

“Sebagai jurucakap kerajaan, adalah peranan Datuk Seri Fahmi Fadzil untuk menyampaikan maklumat rasmi yang disahkan oleh agensi penguatkuasaan dan kementerian berkaitan pada ketika itu, bukannya bertindak atas dasar spekulasi,” katanya kepada utusanmelayuplus hari ini.

Bryan mengulas hantaran aktivis, Iswardy Morni, di media sosial berhubung isu pembakaran terbuka di Indonesia yang mencetuskan reaksi netizen, termasuk kritikan dan tindakan menyalahkan Fahmi.

Beliau berkata, kritikan oleh pihak tertentu, termasuk ulasan Iswardy berkaitan laporan Wahana Lingkungan Hidup Indonesia (WALHI), berisiko mempolitikkan isu dasar luar dan alam sekitar tanpa mengambil kira konteks tadbir urus yang menyeluruh.

Menurut Bryan, laporan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkenaan boleh dijadikan rujukan awal, namun metodologi dan kredibiliti laporan pemetaan yang dikenali sebagai Actor Mapping Analysis perlu dinilai secara kritis berbanding maklumat rasmi kerajaan.

“Pemetaan awal oleh aktivis tidak boleh dan tidak wajar dijadikan pengganti kepada pengesahan undang-undang rentas sempadan yang rasmi serta saluran dua hala yang sah,” katanya.

Beliau berkata, laporan NGO tidak secara automatik menggantikan siasatan rasmi rentas sempadan yang memerlukan bukti forensik serta proses undang-undang yang sah di Indonesia.

Sehubungan itu, Bryan berkata, Malaysia perlu terus mengutamakan pendekatan diplomatik yang matang, termasuk membuka ruang kerjasama erat dan siasatan bersama pihak berkuasa Indonesia sekiranya terdapat bukti kukuh.

Beliau turut memberi amaran bahawa tindakan mengangkat isu alam sekitar untuk meraih keuntungan politik, menyerang peribadi pemimpin dan menyebarkan retorik yang memecahbelahkan hanya akan mengalihkan perhatian daripada usaha mencari penyelesaian.

“Kerajaan tidak pernah melindungi mana-mana syarikat korporat yang melanggar undang-undang alam sekitar antarabangsa, namun sebarang dakwaan mesti ditangani melalui saluran rasmi dan bukti yang sahih, bukannya polemik media sosial,” katanya.

Bryan menegaskan kepentingan nasional dan tanggungjawab terhadap negara perlu diutamakan, khususnya ketika isu serantau yang kompleks memerlukan kerjasama serta penyelesaian praktikal antara kedua-dua negara.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here