Pemandu lori dakwa ‘microsleep’ sebelum rempuh kereta dua wartawan

PEMANDU lori yang terbabit dalam kemalangan sehingga menyebabkan dua wartawan cedera di Menglembu, Ahad lalu, mendakwa dia terlelap seketika atau mengalami microsleep ketika kejadian.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, siasatan lanjut masih dijalankan, termasuk tindakan terhadap pemandu berusia 35 tahun itu yang sudah dirakam keterangannya.

Menurutnya, ujian air kencing mendapati pemandu terbabit negatif dadah, selain tidak mempunyai rekod jenayah.

“Pemandu lori itu sudah diambil keterangan. Ia memang satu kesalahan, iaitu langgar belakang dan tindakan akan diambil nanti,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak, hari ini, lapor Bernama.

Mohd Alwi berkata, polis setakat ini belum menerima rakaman kamera papan pemuka daripada mana-mana pihak bagi membantu siasatan, manakala lokasi kejadian juga tidak dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV).

Dalam kemalangan kira-kira jam 5.45 pagi itu, wartawan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Nur Afiradina Arshad, 34, dan wartawan The New Straits Times (NST), Zahratulhayat Mat Arif, 37, cedera selepas kereta Perodua Bezza dinaiki mereka dilanggar sebuah lori.

Kedua-dua wartawan berkenaan ketika itu dalam perjalanan ke Bagan Datuk untuk membuat liputan program membabitkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here