Hendak kritik kerajaan boleh, tapi biarlah berfakta – AMK bidas Iswardy

LAPORAN pemetaan titik panas dan hubungan pemilikan korporat tidak boleh dijadikan bukti muktamad bahawa sesebuah syarikat terbabit dalam pembakaran hutan, sebaliknya dakwaan sedemikian perlu disokong bukti yang kukuh.

Pengarah Strategi Angkatan Muda KEADILAN (AMK), Mohd Shafiq Iqram Abdullah berkata, perbezaan antara data pemetaan, hubungan korporat dan pembuktian penglibatan syarikat dalam kebakaran perlu difahami sebelum sebarang kesimpulan dibuat.

MOHD Shafiq Iqram Abdullah

Beliau mengulas kenyataan aktivis Iswardy Moni yang mempertikaikan penjelasan Menteri Komunikasi merangkap Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Seri Fahmi Fadzil, berhubung dakwaan penglibatan 21 syarikat berkaitan Malaysia dalam kebakaran hutan di Indonesia berdasarkan laporan Wahana Lingkungan Hidup Indonesia (WALHI).

Menurut Shafiq Iqram, laporan WALHI wajar diberi perhatian, namun dapatan yang dikemukakan tidak secara automatik membuktikan semua syarikat berkenaan melakukan pembakaran.

“Ketiga-tiganya bukan perkara yang sama.

“Laporan WALHI menggunakan data titik panas, pemetaan kawasan konsesi dan struktur pemilikan korporat. Dapatan tersebut wajar diberi perhatian, tetapi ia tidak secara automatik membuktikan bahawa semua 21 syarikat berkaitan Malaysia telah melakukan pembakaran,” katanya kepada utusanmelayuplus hari ini.

Beliau turut mempersoalkan tindakan menggambarkan kenyataan kerajaan pada 16 Oktober lalu sebagai tidak benar hanya berdasarkan perbezaan dapatan berhubung isu berkenaan.

Shafiq Iqram berkata, pada tarikh itu, Fahmi dalam sidang media itu menyampaikan hasil semakan silang Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) yang telah dibentangkan kepada Jemaah Menteri.

Menurutnya, semakan berkenaan mendapati kebanyakan aktiviti pembakaran berlaku di luar kawasan konsesi syarikat Malaysia, manakala kawasan ladang Genting Plantations seluas lima hektar dilaporkan terjejas akibat api yang merebak dari luar dan telah dipadamkan.

“Jadi, atas asas apa Iswardy mahu menggambarkan kenyataan Fahmi sebagai sesuatu yang bercanggah dengan fakta?” katanya.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa sebarang maklumat tambahan daripada WALHI perlu diteliti kerajaan dan siasatan wajar diteruskan sekiranya terdapat bukti baharu.

“Jika WALHI mempunyai maklumat tambahan, kerajaan wajar menelitinya. Jika terdapat bukti baharu, siasatan perlu diteruskan.

“Tetapi perbezaan dapatan antara dua pihak tidak bermaksud salah satu pihak secara automatik berbohong,” katanya.

Shafiq Iqram turut menegaskan bahawa pendiriannya bukan untuk mempertahankan mana-mana syarikat yang melakukan kesalahan, sebaliknya memastikan setiap dakwaan dinilai berdasarkan bukti.

“Mana-mana syarikat yang terbukti cuai atau terlibat dalam pembakaran mesti dipertanggungjawabkan tanpa kompromi,” katanya.

Beliau menjelaskan, tanggungjawab mengawal kebakaran dan pembuktian pihak yang memulakan kebakaran merupakan dua perkara berbeza yang tidak seharusnya dicampuradukkan untuk membentuk kesimpulan politik.

Sehubungan itu, beliau menggesa Iswardy menjelaskan sama ada kesemua 21 syarikat berkenaan telah dibuktikan melakukan pembakaran atau sekadar dikenal pasti melalui pemetaan dan hubungan korporat.

Beliau turut mempersoalkan sama ada terdapat bukti bahawa semakan KPK dibuat secara tidak tepat serta mengapa perbezaan dapatan itu membawa kepada tuduhan bahawa kerajaan berbohong, bukannya desakan supaya siasatan lanjut dijalankan.

“Kritik kerajaan itu hak beliau. Tetapi jangan sampai keghairahan mencari kesalahan kerajaan menyebabkan asas pembuktian diketepikan,” katanya.

Mengulas lanjut, Shafiq Iqram berkata, laporan NGO dan data satelit boleh menjadi sumber maklumat penting, namun tidak seharusnya dianggap sebagai keputusan muktamad mengenai pihak yang bertanggungjawab terhadap kebakaran.

“Datuk Seri Fahmi telah menyampaikan hasil semakan rasmi kerajaan. Jika ada bukti baharu, kemukakan dan siasat. Itulah pendekatan yang bertanggungjawab,” katanya.

 

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here