Rampasan ketamin 1.16 tan bernilai RM785 juta dipercayai dari Segi Tiga Emas

SIASATAN polis terhadap rampasan 1.16 tan ketamin bernilai kira-kira RM785 juta di Indonesia kini tertumpu kepada kemungkinan dadah itu dipindahkan antara kapal di Laut Andaman sebelum dihantar ke negara berkenaan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, dadah yang dirampas daripada sebuah kapal tangki di perairan Tanjung Balai Asahan, Sumatera Utara itu dipercayai berasal dari kawasan Segi Tiga Emas, sama ada Myanmar atau Thailand.

Menurutnya, lapan anak kapal turut ditahan pihak berkuasa Indonesia pada 20 Oktober lalu bagi membantu siasatan.

“Berdasarkan maklumat yang diperoleh, kita mengesyaki berlaku pemindahan dadah antara kapal atau ship-to-ship (STS) di Laut Andaman membabitkan sebuah kapal induk yang memindahkan ketamin ke kapal tangki itu.

“Kapal itu kemudian dipercayai membawa ketamin terbabit ke Indonesia kerana pasaran dadah jenis itu lebih tertumpu di negara berkenaan,” katanya ketika ditemui di Bukit Aman, semalam, lapor Harian Metro.

Hussein berkata, hasil perkongsian maklumat dengan Polis Republik Indonesia mendapati kapal tangki itu berlepas dari Pelabuhan Pasir Gudang, Johor sebelum singgah di Pelabuhan Klang untuk mengisi bahan api dan mendapatkan keperluan lain.

Kapal itu kemudian dipercayai menuju ke Laut Andaman, kawasan perairan antarabangsa berhampiran Myanmar, Thailand dan Indonesia.

Rampasan itu membabitkan dadah dianggarkan bernilai 3.48 trilion rupiah, bersamaan kira-kira RM785 juta.

Beliau berkata, siasatan JSJN kini memberi tumpuan kepada pengurusan kapal berkenaan di Malaysia, termasuk mengenal pasti pihak yang mengatur penggunaannya.

Polis juga sedang menyiasat sama ada kapal itu disewa khusus untuk kegiatan penyeludupan dadah serta individu yang bertanggungjawab mengatur perjalanan berkenaan.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here