RAKYAT perlu memahami perbezaan antara pihak membuat keputusan dengan pihak yang bertanggungjawab menyampaikan keputusan kerajaan kepada masyarakat.
Pensyarah Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi MARA (UiTM), Muhammad Azim Zaid berkata, sebagai jurucakap kerajaan, Datuk Seri Fahmi Fadzil yang juga Menteri Komunikasi berperanan menyampaikan maklumat dan pendirian rasmi yang telah diputuskan oleh kerajaan.
‘’Namun begitu, seorang pemimpin dan jurucakap kerajaan tetap perlu terbuka kepada kritikan awam, khususnya dari segi kejelasan, ketepatan dan keberkesanan komunikasi yang disampaikan.
‘’Bagaimanapun kritikan perlu dibuat secara adil dengan mengambil kira bidang kuasa serta tanggungjawab setiap kementerian. Sekiranya sesuatu isu melibatkan dasar atau keputusan kementerian tertentu, penilaian terhadap perkara itu juga perlu mengambil kira peranan kementerian berkenaan,’’ katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas salah faham dalam kalangan sesetengah masyarakat berhubung tanggungjawab jurucakap kerajaan yang dipikul oleh Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil.
Ia berikutan ada pihak akan menyerang Ahli Parlimen Lembah Pantai itu jika berlaku sesuatu isu berkaitan kementerian lain yang diumumkan oleh beliau selepas mesyuarat Kabinet.
Mengulas perkara itu, Muhammad Azim menegaskan, komunikasi kerajaan bukanlah tanggungjawab jurucakap semata-mata, sebaliknya merupakan tanggungjawab bersama antara kementerian dan agensi yang terlibat.
‘’Kementerian yang mempunyai kuasa serta bidang kuasa secara langsung terhadap sesuatu isu perlu memainkan peranan utama dalam memberikan penjelasan terperinci, khususnya berkaitan dasar, tindakan dan keputusan yang dibuat,’’ katanya.
Dari sudut teori komunikasi, kata beliau, perkara itu berkait rapat dengan prinsip ketelusan dan akauntabiliti.
‘’Apabila sesuatu isu tidak dijelaskan dengan baik, kekosongan maklumat boleh menyebabkan masyarakat membuat tafsiran sendiri, sekali gus membuka ruang kepada spekulasi,’’ katanya.
Sementara itu, beliau berkata, kenyataan dalam media sosial berpotensi menimbulkan kekeliruan sekiranya maklumat yang disampaikan tidak disertakan dengan konteks yang lengkap dan tepat.
Oleh itu, sesuatu kenyataan perlu dinilai berdasarkan kandungan sebenar serta bukti dan maklumat yang menyokongnya.
‘’Dalam isu yang melibatkan hubungan diplomatik Malaysia dengan Indonesia, kita perlu lebih berhati-hati kerana sebarang kenyataan boleh ditafsirkan secara berbeza oleh masyarakat kedua-dua negara.
‘’Perkara yang membimbangkan ialah apabila sesuatu isu dilihat daripada sudut politik atau emosi semata-mata sehingga masyarakat gagal membezakan antara fakta, pandangan peribadi dan pendirian rasmi kerajaan,’’ katanya.
Muhammad Azim berkata, tahap kekeliruan yang ditimbulkan oleh kenyataan Iswardy Morni dalam hantaran Facebooknya berkaitan dakwaan NGO Indonesia bahawa 21 syarikat Malaysia terlibat dalam pembakaran di negara itu perlu dinilai berdasarkan kandungan sebenar kenyataan tersebut.
‘’Kritikan tidak semestinya mengelirukan, tetapi dakwaan yang tidak lengkap atau tidak disertakan bukti boleh membentuk persepsi yang kurang tepat dalam kalangan rakyat. Kita tidak mahu perkara seperti ini mencetuskan provokasi kerana ia melibatkan dua negara yang mempunyai hubungan rapat,’’ katanya.





