Stesen minyak disekat, lebih 100,000 liter petrol disyaki diseleweng

SEBUAH stesen minyak di Sungai Buaya, NIbong Tebal disekat daripada menjual petrol RON95 dan diesel bersubsidi selepas dikesan melakukan transaksi mencurigakan yang disyaki membabitkan penyalahgunaan subsidi di bawah inisiatif Budi MADANI.

Kementerian Kewangan (MoF) memaklumkan, tindakan itu diambil selepas menerima aduan daripada beberapa penerima bantuan yang mendapati maklumat MyKad mereka digunakan tanpa pengetahuan bagi membeli petrol bersubsidi.

Menurut kementerian itu, semua pengadu terbabit sudah membuat laporan polis berhubung penggunaan maklumat MyKad masing-masing.

“Semakan mendapati lebih 1,000 transaksi yang menggunakan kaedah pintasan manual (manual bypass) telah direkodkan.

“Transaksi ini melibatkan lebih 100,000 liter petrol dengan nilai subsidi kerajaan berjumlah lebih RM270,000,” menurut MoF dalam kenyataan hari ini.

Susulan penemuan berkenaan, MoF turut menahan bayaran subsidi kepada stesen minyak itu dengan jumlah awal melebihi RM270,000, tertakluk kepada penyelarasan lanjut.

Selain itu, sembilan individu termasuk pemilik stesen minyak dan ahli keluarga mereka disekat daripada menggunakan kemudahan subsidi Budi MADANI sementara tindakan susulan dilaksanakan.

Dalam perkembangan sama, kementerian itu memaklumkan beberapa individu lain yang disyaki mempunyai kaitan dengan kes berkenaan turut dikenal pasti, dengan rekod transaksi mereka sedang diteliti.

Tindakan sewajarnya akan diambil terhadap individu terbabit sekiranya mereka didapati terlibat dalam penyalahgunaan subsidi.

MoF menegaskan Budi MADANI diwujudkan bagi memastikan subsidi produk petroleum disalurkan secara bersasar kepada rakyat Malaysia mengikut tujuan dan kegunaan yang ditetapkan.

“Subsidi ini merupakan keistimewaan untuk rakyat dan tidak boleh disalahgunakan untuk mengaut keuntungan peribadi.

“Sebarang penyelewengan subsidi merupakan pengkhianatan terhadap matlamat penyasaran subsidi, apatah lagi ketika konflik di Asia Barat terus mengganggu bekalan tenaga dunia dan memberi tekanan kepada harga bahan api,” menurut kenyataan itu.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here