1,600 penduduk Parlimen Lembah Pantai terima baucar sempena Deepavali

KIRA-kira 1,600 penduduk kawasan Parlimen Lembah Pantai menerima baucar bernilai RM150 bersempena dengan sambutan Deepavali bagi membantu meringankan kos sara hidup serta persiapan menyambut perayaan itu.

Ahli Parlimen Lembah Pantai Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata penyerahan fasa pertama dimulakan malam ini melibatkan lebih 300 penerima manakala bakinya akan diserahkan di beberapa lokasi lain di kawasan parlimen itu malam esok.

“Mereka boleh menggunakan baucar ini untuk ditebus di beberapa pasar raya yang berada dalam kawasan Parlimen Lembah Pantai.

“Saya harap usaha ini dapat membantu mereka bersiap sedia dan meraikan Deepavali dalam suasana yang ceria dan mungkin sedikit tekanan kos sara hidup, membeli barang-barang keperluan ini dapat kita bantu,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan sumbangan itu di Taman Sri Sentosa Kuala Lumpur malam ini.

Mengenai inisiatif yang diumumkan dalam Belanjawan 2027, Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata pelbagai peruntukan dan bantuan khusus disediakan Kerajaan MADANI bagi memperkasakan sosioekonomi komuniti India di negara ini.

Beliau berkata menerusi belanjawan itu, kerajaan menyediakan dana pembiayaan perniagaan sebanyak RM150 juta menerusi Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) serta Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional, selain peruntukan RM100 juta bagi Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA).

“Ini yang kita percaya dapat membantu, terutamanya mereka yang merupakan pengusaha perniagaan kecil dan mereka yang dapat memanfaatkan jumlah itu untuk mereka melancarkan bisnes, membeli peralatan dan apa-apa lain yang mengikut dan menepati syarat bagi AIM dan juga untuk TEKUN.

“Kedua, adalah bagi peruntukan MITRA sebanyak RM100 juta. Ini satu peningkatan juga dan kita percaya banyak daripada maklum balas yang saya terima berkenaan dengan permohonan geran ataupun bantuan daripada MITRA ini melibatkan akses… insya-Allah saya akan sampaikan kepada Datuk Seri R.Ramanan (Menteri Sumber Manusia) yang merupakan menteri yang ditugaskan untuk menjaga MITRA,” katanya.

Fahmi berkata kebajikan komuniti India turut dipelihara menerusi manfaat langsung seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR), Sumbangan Asas Rahmah (SARA) serta bantuan membaik pulih Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil.

Dalam pada itu, Fahmi berkata pihaknya telah memperoleh kelulusan daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan bagi menggantikan unit lif yang rosak di Flat AC4 Taman Sri Sentosa yang dijadualkan bermula awal tahun hadapan.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here