![]()
PERBINCANGAN antara Pengerusi Barisan Nasional (BN) Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan Presiden MCA Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berjaya merungkai beberapa kebuntuan berhubung agihan kerusi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bulan depan.
Ab Rauf yang juga Pengarah Pilihan Raya BN Melaka menyifatkan perkembangan hasil perbincangan itu sebagai positif.
“(Perbincangan) baik, bagus… kita dapat meleraikan kebuntuan yang selama ini timbul. Kita tunggu MCA sendiri nanti mungkin akan memberikan hasil (keputusan) daripada perundingan yang telah saya bincang dengan beliau (Wee) malam tadi (kelmarin)” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pelancaran Jentera BN Parlimen Masjid Tanah yang disempurnakan Timbalan Perdana Menteri merangkap Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Masjid Tanah malam tadi.
Terdahulu, Ka Siong menerusi hantaran di Facebook hari ini dilaporkan berkata MCA dan UMNO belum mengadakan perbincangan susulan selepas pertemuan di sebuah hotel di Kuala Lumpur malam tadi.
Beliau dipetik sebagai berkata masih terlalu awal untuk menyifatkan hasil pertemuan itu sebagai positif, selain menegaskan kedua-dua pihak perlu meneruskan perbincangan bagi mencapai penyelesaian dalam masa terdekat.
Sebelum ini, MCA dilaporkan tidak akan mengiktiraf mana-mana calon parti itu yang diumumkan BN untuk bertanding pada PRN Melaka tanpa persetujuan kepimpinan tertingginya.
Ka Siong berkata tindakan mengumumkan calon tanpa rundingan dan persetujuan MCA tidak boleh diterima, lebih-lebih lagi apabila kerusi yang sebelum ini ditandingi parti itu didakwa diberikan kepada parti lain.
Sabtu lepas, BN mengumumkan calon gabungan itu bagi 21 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), termasuk dua calon MCA, iaitu penyandang DUN Machap Jaya Datuk Ngwe Hee Sem dan penyandang DUN Kelebang Datuk Lim Ban Hong.





