SIKAP mudah melabel orang lain sebagai kafir, murtad dan munafik hanya berdasarkan kefahaman agama yang terbatas perlu diberi perhatian kerana ia mencerminkan kelemahan dalam penguasaan ilmu, akhlak dan keperibadian.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kefahaman agama yang cetek boleh mendorong segelintir pihak menjatuhkan hukum terhadap orang lain tanpa memahami perkara berkenaan secara menyeluruh.
“Belajar agama sedikit, terus hukum. Dia jadi takfiri. Terus memurtadkan orang dan memunafikkan orang.
“Ini hanya mencerminkan gejala kepada masalah sebenar, termasuk dalam kalangan mereka yang mengaku beragama Islam, mereka tidak membantu, mereka tidak memberikan contoh yang baik dari segi akhlak, dari segi peribadi, kesederhanaan dan toleransi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ilmu MADANI bersama Perdana Menteri di Kompleks Seri Perdana di Putrajaya hari ini, lapor Buletin TV3.
Yang turut hadir, isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Zulkifli Hasan.
Majlis itu menampilkan pendakwah terkenal dari Indonesia, Ustaz Abdul Somad Batubara yang menyampaikan tausiyah umum kepada lebih 200 hadirin.
Anwar berkata, usaha membina kefahaman agama yang baik bukan hanya menjadi tanggungjawab individu, malah memerlukan peranan kepimpinan bagi memastikan masyarakat memperoleh pencerahan yang tepat.
Menurutnya, kelemahan penguasaan ilmu juga boleh menyebabkan perbincangan dalam pelbagai bidang, termasuk politik, ekonomi, sosial, budaya dan pendidikan, berlangsung tanpa asas pengetahuan serta pertimbangan yang mencukupi.
Sehubungan itu, beliau menegaskan kepentingan memperkukuh tradisi ilmu, termasuk melalui pengajian agama dan pemahaman terhadap khazanah keilmuan Islam terdahulu, bagi membentuk masyarakat yang lebih berpengetahuan, berakhlak dan bertoleransi.





