FELCRA Berhad diarah untuk menanggung sepenuhnya yuran pengajian anak-anak peserta yang memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata kemudahan yuran sehingga tamat pengajian itu melibatkan pelajar yang mencatat keputusan semua A dalam SPM serta Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.00 untuk STPM.
Beliau berkata inisiatif itu bagi memastikan kecemerlangan dan aspek pendidikan anak-anak peserta FELCRA terus terbela, sambil menegaskan bahawa kekangan kewangan tidak boleh menjadi penghalang kepada masa depan mereka.
“Saya juga berharap agar Kolej FELCRA memberikan penekanan kepada program TVET (Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional) Pertanian di kolej sebagai inisiatif untuk melahirkan tenaga kerja mahir dalam sektor teknologi pertanian.
“Kita perlu melihat kemampuan generasi seterusnya membina pendapatan sendiri. Pendidikan dan kemahiran hendaklah menjadi pelaburan penting supaya anak-anak peserta mempunyai lebih banyak pilihan pekerjaan serta keusahawanan,” katanya.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pengisytiharan Agihan Keuntungan Interim 2/2026 Projek-Projek Peserta FELCRA Berhad di Ayer Keroh di sini hari ini.
Turut hadir Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Rubiah Wang dan Pengerusi FELCRA Berhad Datuk Seri Ahmad Jazlan Yaakub.





