LANGKAH pengurangan duti hiburan tidak bermakna pelonggaran kawalan terhadap penganjuran persembahan artis antarabangsa, kata Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil
Katanya, pengecualian penuh duti hiburan ini adalah bagi tiket tayangan filem dan persembahan teater tempatan di Wilayah Persekutuan mulai 2027.
Beliau menegaskan, setiap permohonan persembahan artis luar negara adalah tertakluk kepada penelitian Jawatankuasa Permohonan Penggambaran Filem Asing dan Persembahan Artis Luar Negara (JK-PUSPAL) menerusi syarat dan garis panduan yang perlu dipatuhi, termasuk aspek keselamatan, ketenteraman awam serta nilai dan sensitiviti masyarakat Malaysia.
‘’Agensi keselamatan yang terlibat adalah seperti Kementerian Dalam Negeri (KDN), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), selain agensi berkaitan seni, budaya dan pihak berkuasa tempatan. Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) juga merupakan anggota JK-PUSPAL bagi memberikan pandangan dari aspek agama dan sensitiviti masyarakat Islam,’’ katanya.
Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Belanjawan 2026 bagi peringkat Kementerian Komunikasi di Dewan Rakyat hari ini.
Fahmi berkata, kerajaan melalui Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) terus menggalakkan pembangunan industri filem tempatan.
‘’ Namun, usaha ini tidak mengetepikan aspek kawal selia kandungan kerana filem yang ditayangkan kepada umum masih tertakluk kepada penapisan oleh Lembaga Penapis Filem (LPF) di bawah KDN, selaras dengan Akta Penapisan Filem 2002 [Akta 620]. Penapisan ini bertujuan memastikan kandungan filem yang ditayangkan mengambil kira aspek keselamatan, ketenteraman awam, moral serta nilai dan sensitiviti masyarakat Malaysia,’’ katanya.
Sehubungan itu beliau menegaskan, usaha kerajaan merancakkan industri kreatif bukanlah suatu bentuk galakan terhadap budaya hedonisme, mahupun mengetepikan nilai dan jati diri masyarakat.
‘’Sebaliknya, pembangunan ekonomi kreatif dilaksanakan secara seimbang dan bertanggungjawab melalui kawal selia yang berkesan serta penghasilan kandungan berkualiti, dengan mengambil kira kepentingan ekonomi, pemeliharaan nilai budaya dan pembentukan sahsiah masyarakat, selaras dengan undang-undang yang berkuat kuasa,’’ katanya
Beliau turut menegaskan, ekonomi kreatif tidak terhad kepada hiburan atau acara tertentu, sebaliknya merangkumi filem, muzik, seni persembahan, animasi, permainan digital, penerbitan sastera, fesyen, kulinari dan pelbagai bidang lain.
‘’Sebagai pemacu pekerjaan, pendapatan dan pelaburan, sektor ini perlu terus diperkukuh melalui pembangunan bakat, penghasilan dan pengkomersialan karya tempatan serta peluasan akses ke pasaran antarabangsa bagi meningkatkan daya saing bakat dan harta intelek Malaysia,’’ katanya.
Dalam penggulungan itu beliau menjawab dakwaan pembangkang bahawa duti hiburan bagi persembahan artis antarabangsa dan filem luar negara dikhuatiri menggalakkan budaya hedonisme serta menjejaskan pembentukan sahsiah generasi muda.
Katanya, Kerajaan MADANI sentiasa mengutamakan pembangunan yang seimbang antara kemajuan ekonomi, pengembangan industri kreatif serta pembinaan sahsiah dan nilai kerohanian masyarakat.
Dalam hubungan ini katanya, kerajaan turut giat menganjurkan pelbagai program keilmuan dan keagamaan, antaranya Majlis Ilmu MADANI, Forum Ilmuwan Malaysia MADANI, Program Malaysia Bermunajat, termasuk program yang dihadiri dan dipimpin sendiri oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
‘’Ini membuktikan bahawa pembangunan industri kreatif dan pengukuhan nilai agama serta akhlak bukanlah sesuatu yang saling bertentangan, sebaliknya perlu bergerak seiring dalam membina masyarakat yang berilmu, berbudaya dan berakhlak,’’ katanya.





