6 Ahli Parlimen Bersatu memeterai MoU dengan kerajaan

ENAM Parlimen Bersatu hari ini memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan kerajaan  yang antara lain menetapkan dua reformasi utama perlu dilaksanakan Putrajaya sebagai pertukaran kepada sokongan mereka.

Keenam-enam Ahli Parlimen itu yang diketuai  Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu kerajaan memastikan tempoh jawatan Perdana Menteri dihadkan serta peranan peguam negara dan pendakwa raya diasingkan sebelum berakhir penggal pentadbiran semasa.

Sebagai balasan, enam Ahli Parlimen pembangkang berkenaan akan menyokong Belanjawan 2027.

Enam Ahli Parlimen yang terlibat dalam MoU itu ialah Muhyiddin (Pagoh), Datuk Dr. Radzi Jidin (Putrajaya), Ali Biju (Saratok), Suhaimi Abdullah (Langkawi), Nazri Abu Hassan (Merbok) dan Azman Nasrudin (Padang Serai).

Dua hari lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang boleh diberikan menerusi perjanjian keyakinan dan perbekalan (CSA), sama seperti perjanjian yang dimeterai dengan pentadbiran Ismail Sabri Yaakob ketika Anwar menjadi ketua pembangkang.

Blok kerajaan di Dewan Rakyat kini mempunyai 149 Ahli Parlimen, termasuk Pakatan Harapan (PH) dengan 75 kerusi, Barisan Nasional (30), Gabungan Parti Sarawak (23) dan Gabungan Rakyat Sabah (tujuh).

Tiga Ahli Parlimen Warisan turut berada dalam blok kerajaan, bersama masing-masing seorang daripada Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Bangsa Malaysia (PBM). Tujuh wakil rakyat bebas turut menyokong kerajaan, termasuk enam bekas Ahli Parlimen Bersatu.

Blok pembangkang pula terdiri daripada PAS dengan 43 Ahli Parlimen, Bersatu (19), Wawasan (enam) dan Muda (seorang). Empat kerusi kini kosong susulan peletakan jawatan Datuk Seri Rafizi Ramli (Pandan), Nik Nazmi Nik Ahmad (Setiawangsa), Wong Chen (Subang) dan Lee Chean Chung (Petaling Jaya).



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here