PERJANJIAN Persefahaman Keyakinan dan Perbekalan (CSA) antara Kerajaan MADANI dengan Ahli Parlimen pembangkang, termasuk enam wakil rakyat Bersatu dilihat sebagai langkah pragmatik bagi memperkukuh kestabilan politik dan memastikan kelangsungan pentadbiran negara.
Penganalisis politik, Prof Datuk Dr Sivamurugan Pandian berkata, perjanjian itu bagaimanapun tidak seharusnya dilihat sekadar usaha kerajaan menambah angka sokongan di Parlimen, sebaliknya menjadi ujian terhadap kematangan politik serta keupayaan membina konsensus antara kedua-dua pihak.

Menurutnya, CSA memberi gambaran bahawa kestabilan negara tidak seharusnya dijadikan taruhan dalam persaingan politik kepartian, terutama apabila kepentingan rakyat dan kelangsungan pentadbiran perlu diberikan keutamaan.
“CSA ini bukan bermaksud pembangkang menyertai kerajaan atau kerajaan kehilangan prinsip politiknya. Sebaliknya, ia mengiktiraf bahawa kestabilan negara tidak boleh dijadikan tebusan kepada persaingan politik.
“Dalam demokrasi matang, kerajaan perlu kuat untuk mentadbir manakala pembangkang perlu bebas untuk menegur,” katanya kepada utusanmelayuplus hari ini.
Beliau mengulas implikasi perjanjian berkenaan terhadap kestabilan politik negara.
Sivamurugan berkata, terdapat tiga kesan utama yang boleh dilihat menerusi pelaksanaan CSA, antaranya mengurangkan ketidaktentuan politik, membuka ruang kepada reformasi institusi serta mewujudkan pendekatan baharu dalam hubungan kerajaan dengan pembangkang.
Beliau berkata, sokongan enam Ahli Parlimen Bersatu bersama beberapa wakil rakyat pembangkang lain memberikan jaminan tambahan kepada kerajaan, khususnya dalam urusan kelulusan Belanjawan 2027 dan undi kepercayaan di Parlimen.
Katanya, perkembangan itu membolehkan kerajaan memberikan tumpuan lebih besar terhadap agenda ekonomi, menangani kos sara hidup serta melaksanakan pembangunan negara tanpa terlalu dibayangi ancaman ketidakstabilan politik.
Dalam masa sama, beliau berpandangan CSA turut membuka peluang kepada pelaksanaan reformasi institusi sekiranya komitmen yang dipersetujui dapat diterjemahkan kepada tindakan perundangan.
“Komitmen terhadap had tempoh jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal serta pengasingan kuasa Peguam Negara dan Pendakwa Raya boleh menjadi nilai tambah sekiranya benar-benar diterjemahkan kepada tindakan perundangan,” katanya.
Mengulas hubungan antara kerajaan dengan pembangkang, Sivamurugan berkata, kerjasama menerusi CSA tidak semestinya bermaksud penyertaan dalam kerajaan, sebaliknya membolehkan pembangkang terus memainkan peranan semak dan imbang sambil bekerjasama dalam perkara berkepentingan nasional.
Bagaimanapun, katanya, pendekatan itu juga berpotensi menimbulkan persoalan mengenai kesepaduan strategi pembangkang, khususnya apabila sebahagian wakil rakyat memilih pendekatan rundingan dengan kerajaan.
Beliau berkata, perkembangan berkenaan menunjukkan hubungan politik tidak semestinya perlu terikat kepada garis pemisah yang terlalu rigid, sebaliknya ruang kerjasama boleh diwujudkan tanpa mengetepikan peranan masing-masing dalam sistem demokrasi.
“Politik tidak seharusnya sentiasa berorientasikan siapa menjatuhkan siapa. Persoalan lebih besar ialah siapa mampu memastikan negara terus berjalan.
“Kestabilan politik bukan matlamat terakhir, tetapi prasyarat untuk keberkesanan pentadbiran dan kesejahteraan rakyat,” katanya.





