MALAYSIA terus mengekalkan kedudukan di tangga pertama sebagai negara dengan ekonomi Islam paling kukuh di dunia bagi tahun 2025 berdasarkan laporan State of the Global Islamic Economy (SGIE) Report 2024/2025.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming berkata, pencapaian itu membuktikan dasar dan pendekatan Kerajaan MADANI yang menitikberatkan kestabilan politik, tata kelola baik, keyakinan pelabur serta pembangunan inklusif terus mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa.

Beliau berkata, kedudukan Malaysia yang mengatasi beberapa negara Islam utama dunia turut mencerminkan kekuatan sistem kewangan Islam, industri halal, inovasi serta ekosistem pembangunan negara yang diyakini masyarakat global.
“Keberhasilan Malaysia mengekalkan kedudukan sebagai ekonomi Islam terbaik dunia membuktikan pendekatan Malaysia MADANI berjaya meletakkan negara di landasan kukuh, progresif dan dihormati dunia.
“Ini adalah kejayaan seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama,” katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.
Mengulas lanjut, Kor Ming berkata, pencapaian itu juga hasil kestabilan politik, dasar ekonomi yang jelas dan komitmen berterusan kerajaan dalam memperkukuh keyakinan rakyat serta pelabur terhadap hala tuju negara.
Menurutnya, kerajaan akan terus memperkukuh agenda pembangunan rakyat termasuk penyediaan perumahan berkualiti, pembangunan bandar mampan dan kesejahteraan komuniti supaya manfaat pertumbuhan ekonomi dapat dinikmati secara menyeluruh.
“Kerajaan MADANI akan terus bekerja keras memastikan kemakmuran negara diterjemahkan kepada kesejahteraan rakyat, peluang ekonomi yang lebih luas serta pembangunan negara yang inklusif dan mampan.
“Justeru, KPKT menyeru agar rakyat terus bersama mempertahankan kestabilan, perpaduan dan keyakinan terhadap agenda pembangunan negara bagi memastikan Malaysia kekal dihormati di peringkat antarabangsa,” katanya.


