Bersatu lawan calon PN, risiko pecah undi penyokong gabungan

KEPUTUSAN Bersatu untuk bertanding di lapan kerusi termasuk berdepan calon Perikatan Nasional (PN) berpotensi mencetuskan perpecahan undi dalam kalangan penyokong gabungan itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Kenegaraan dan Ketamadunan, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Nur Ayuni Mohd Isa berkata, perkembangan itu turut memperlihatkan perubahan landskap kerjasama politik antara parti yang sebelum ini bergerak di bawah satu gabungan.

Menurutnya, perbezaan pendekatan antara parti komponen PN dalam menjalin kerjasama dengan gabungan lain boleh menimbulkan kekeliruan, khususnya dalam kalangan penyokong yang sebelum ini memberikan sokongan kepada PN.

DR Nur Ayuni Mohd Isa

“Kita dapat melihat wujudnya perbezaan pendekatan dalam kalangan parti yang sebelum ini bekerjasama di bawah PN.

“Dalam PRN Melaka kali ini, Pas dan Wawasan (Parti Wawasan Negara) memilih untuk menjalinkan kerjasama dengan UMNO-BN, manakala Bersatu pula membuka ruang perbincangan dengan PH.

“Perkembangan ini menunjukkan perubahan kerjasama politik berbanding PRN Johor dan Negeri Sembilan sebelum ini,” katanya kepada utusanmelayuplus hari ini ketika mengulas kesan keputusan Bersatu bertanding di lapan kerusi berkenaan.

Dr Nur Ayuni berkata, perubahan corak kerjasama itu berkemungkinan menyebabkan sebahagian penyokong memerlukan masa untuk memahami dan menerima perkembangan politik berkenaan.

Katanya lagi, keadaan itu juga boleh mempengaruhi kecenderungan pengundi, termasuk kemungkinan berlaku undi protes atau peralihan sokongan kepada parti lain.

“Dari sudut persaingan pilihan raya, pertembungan antara Bersatu dengan calon PN berpotensi menyebabkan perpecahan undi, khususnya dalam kalangan pengundi yang sebelum ini menyokong gabungan tersebut,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berpandangan kerjasama antara BN dengan Pas dan Wawasan, selain kemungkinan persefahaman antara Bersatu dengan PH, berpotensi mengurangkan pertandingan banyak penjuru di kawasan tertentu.

Menurutnya, keadaan itu boleh membantu mengurangkan perpecahan undi dan memberi kelebihan kepada parti yang menjalin kerjasama.

Namun, katanya, persefahaman di peringkat kepimpinan parti tidak semestinya menjamin sokongan sama daripada penyokong di peringkat akar umbi.

“Masih terdapat kemungkinan wujudnya perbezaan pandangan, keraguan atau rasa kurang selesa terhadap perubahan kerjasama politik yang berlaku,” katanya.

Mengulas implikasi terhadap PN, Dr Nur Ayuni berkata, perkembangan itu merupakan cabaran yang perlu diberikan perhatian oleh kepimpinan gabungan berkenaan bagi memastikan perbezaan pandangan serta isu dalaman dapat ditangani menerusi perbincangan dan persefahaman bersama.

Katanya, hala tuju PN juga perlu diperjelaskan supaya penyokong dan pengundi memahami kedudukan serta bentuk kerjasama politik yang ingin dibawa oleh gabungan itu.

“Apa yang penting, hala tuju PN perlu diperjelaskan agar penyokong dan pengundi dapat memahami kedudukan serta bentuk kerjasama politik yang ingin dibawa oleh gabungan tersebut.

“Kejelasan ini penting bagi mengelakkan kekeliruan yang berpanjangan dan mengekalkan keyakinan penyokong terhadap gabungan,” katanya.

Beliau berkata, PRN Melaka bukan sekadar medan persaingan untuk memenangi kerusi, sebaliknya turut menjadi ujian kepada keupayaan parti politik mengurus perbezaan, membina persefahaman dan meyakinkan pengundi terhadap kerjasama yang dibentuk.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here