Pesawat pertama FA-50M tiba di Labuan, perkuat keupayaan tempur TUDM

TENTERA Udara Diraja Malaysia (TUDM) melakar satu lagi pencapaian penting apabila pesawat tempur ringan FA-50M Block 20 pertama yang diperoleh dari Korea Selatan tiba di Pangkalan Udara Labuan, semalam.

Ketibaan pesawat itu disambut menerusi penerbangan formasi khas membabitkan enam pesawat pejuang TUDM, terdiri daripada dua Sukhoi SU-30MKM, dua F/A-18D Hornet dan dua BAE Hawk.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, ketibaan itu menandakan penerimaan kumpulan pertama daripada keseluruhan 18 pesawat FA-50M yang diperoleh Malaysia menerusi perjanjian bernilai hampir RM4 bilion dengan Korea Aerospace Industries (KAI).

Menurutnya, enam pesawat dijangka diterima sebelum April 2027, manakala baki keseluruhan daripada 18 pesawat itu akan dihantar secara berperingkat sehingga Mac 2028.

“Proses penghantaran hari ini belum membabitkan penyerahan rasmi kepada TUDM kerana pesawat berkenaan masih di bawah tanggungjawab KAI untuk menjalani fasa penyesuaian serta ujian penerbangan, sebelum majlis penyerahan rasmi disempurnakan selewat-lewatnya sebelum pertengahan November ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis ketibaan pesawat berkenaan di Pangkalan Udara Labuan, semalam, lapor Harian Metro.

Perolehan 18 pesawat FA-50M itu dibuat pada 2023 bagi memenuhi keperluan TUDM dalam melaksanakan latihan pejuang lanjutan serta operasi tempur ringan.

Pesawat berkenaan juga dirancang menggantikan armada BAE Hawk yang dijadualkan ditamatkan perkhidmatan sepenuhnya menjelang 2028, selain ditempatkan di Pangkalan Udara Kuantan dan Labuan bagi memperkukuh pertahanan udara negara.

Mengulas persediaan pengoperasian pesawat baharu itu, Mohamed Khaled berkata, TUDM menyediakan 209 perjawatan di bawah naungan Skuadron No. 15, dengan 127 daripadanya membabitkan jurutera dan juruterbang sudah diisi.

Katanya, baki kekosongan akan dilengkapkan secara berperingkat bagi memastikan kesiagaan operasi pesawat berkenaan dapat dilaksanakan mengikut perancangan.

“Pesawat FA-50M Block 20 yang dibeli Malaysia merupakan varian tempur terkini keluaran KAI dengan keupayaan lebih tinggi berbanding varian terdahulu, lengkap dengan sistem avionik canggih serta persenjataan peluru berpandu moden bagi misi serangan udara ke udara (air-to-air) mahupun udara ke darat (air-to-ground),” katanya.

Yang turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Lokman Hakim Ali; Panglima TUDM, Jeneral Tan Sri Muhamad Norazlan Aris serta pegawai kanan ATM dan awam.

Terdahulu, Mohamed Khaled menerima taklimat mengenai keupayaan pesawat FA-50M dan proses penghantarannya daripada Pegawai Memerintah No. 15 Skuadron, Mejar Mohd Jamil Awang TUDM sebelum meninjau pesawat serta berinteraksi dengan juruterbang yang terbabit dalam penerbangan berkenaan.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here